Dr Mahathir faktor utama rundingan kerusi dapat dimuktamadkan


Ooi Choong Han

PENGERUSI Pakatan Harapan (PH) Dr Mahathir Mohamad memainkan peranan penting dalam memastikan pengagihan kerusi persekutuan di Semenanjung Malaysia dimuktamadkan hanya selepas kurang empat bulan perbincangan, kata Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Anthony Loke.

Berbanding pilihan raya sebelumnya, ini adalah kali pertama pakatan pembangkang dapat menyelesaikan rundingan bagi 165 kerusi Parlimen dengan efisien, katanya.

Gaya kepimpinan bekas perdana menteri bagi memastikan setiap mesyuarat akan berakhir dengan keputusan adalah kunci bagi memastikan semua perkara dapat dijalankan, kata Loke.

“Dr Mahathir sangat berdisiplin. Pertama, beliau sangat menepati waktu dan mesyuarat sentiasa mula tepat pada masanya.

“Kedua, beliau membenarkan semua orang menyuarakan pendapat mereka.

“Tetapi paling penting, beliau akan berkata ‘Saya boleh mendengar anda selama lima jam tetapi selepas lima jam saya mesti membuat keputusan, setiap mesyuarat mesti ada keputusan, dan selepas itu kita mesti melaksanakan keputusan itu,” kata Loke kepada The Malaysian Insight .

“Pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), kita tidak dapat mencapai persetujuan mengenai banyak keputusan penting, tetapi ketiga-tiga parti tidak sehaluan, ini salah satu sebab mengapa Pakatan Rakyat gagal,” kata Loke.

PAS, DAP dan PKR merupakan sebahagian daripada Pakatan Rakyat (PR) yang kini bubar.

Beliau mengimbas yang PR tidak bersetuju dengan calon perdana menteri walaupun pada hari penamaan calon PRU13 kerana PAS membantah pencalonan Anwar Ibrahim dengan alasan mereka tidak dapat meyakinkan penyokong untuk menyokong bekas timbalan perdana menteri itu.

“Saya masih ingat sebelum pilihan raya diadakan mesyuarat ketika pakatan itu hampir berpecah, malah Anwar tidak mahu mempengerusikan mesyuarat.

“PAS mahu calon perdana menteri mereka sendiri dan tidak bersetuju dengan Anwar sebagai perdana menteri. Kami menghabiskan masa berjam-jam tetapi tiada keputusan. Semua orang kepenatan,” katanya.

Loke mengakui ada pihak di PH yang tidak puas hati dengan keputusan dibuat dalam konvensyen baru-baru initetapi mengatakan pembangkang bersatu bergerak ke depan dengan arah yang jelas.

Jentera mereka boleh mula bekerja untuk menjelaskan kepada pengundi siapa yang akan menjadi perdana menteri, parti mana yang akan bertanding, di mana dan dasar apa yang bakal PH juara.

Beliau percaya ini akan mewujudkan momentum tepat menjelang pilihan raya.

“Anda lihat (media milik negara) TV3, Utusan Malaysia; mereka semua menyerang orang tua (Dr Mahathir),” katanya, merujuk kepada liputan media pengumuman PH.

“Ini membuktikan apa yang kami lakukan adalah betul dan Umno kini panik.” – 10 Januari, 2018..


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • kalau betul efisyen kenapa susah sangat nak dapatkan kata putus siapa calon PM lama betul ambik masa. dulu bukan main kutuk lagi kat Tun bila dah jadi sekutu semua yang Tun buat betul... nampak sangat puak pembangkang ni talam dua muka

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Amera amani · Ulasan