Najib cadang kuarantin 14 hari untuk semua ketibaan antarabangsa


Pada masa ini Putrajaya mengenakan tempoh kuarantin wajib 14 hari kepada pengembara dari 39 negara sementara mereka yang tiba dari India dikenakan tempoh kuarantin wajib 21 hari. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Mei, 2021.

NAJIB Razak mencadangkan Putrajaya supaya mengenakan tempoh kuarantin wajib 14 hari kepada semua orang yang tiba dari mana-mana negara, ketika jumlah jangkitan Covid-19 terus meningkat sejak kebelakangan ini.

Pada masa ini Putrajaya mengenakan syarat itu kepada pengembara dari 39 negara sementara mereka yang tiba dari India dikenakan tempoh kuarantin wajib 21 hari.

Bekas perdana menteri berkata sekatan itu perlu diperluaskan kepada semua ketibaan antarabangsa untuk tidak menambah risiko jangkitan di negara ini.

“Keadaan Covid Malaysia pada ketika ini juga sudah kritikal dan kita tidak patut naikkan lagi risiko pada negara.

“Jadi, saya percaya lebih wajar untuk Malaysia mansuhkan senarai 40 buah negara tersebut untuk digantikan dengan pelaksanaan tempoh kuarantin 14 hari secara pukal bagi semua negara (kecuali 21 hari bagi India),” katanya dalam satu komentar di Facebook.

Pada 29 April lalu, Putrajaya mengumumkan tempoh kuarantin wajib bagi pengembara dari 40 negara dinaikkan dari tujuh hari kepada 14 hari, melibatkan negara yang dikesan mempunyai varian Covid-19 yang membimbangkan.

Bagaimanapun kata Najib, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengesan varian India atau varian B.1.617 di 44 buah negara dalam dunia, iaitu sudah melebihi 40 buah negara dalam senarai Malaysia.

Semalam, Kementerian Kesihatan memaklumkan terdapat 66 kes varian Afrika Selatan (varian B.1.351) dan 5 kes varian India di Malaysia. – 18 Mei, 2021. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen