Malaysia rekod 3,780 kes baharu Covid-19, 36 kematian


Selangor kekal merekodkan jumlah kes harian tertinggi Covid-19 dengan 1,275 kes diikuti Sarawak (405) dan Kedah (363). – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Mei, 2021.

KES baharu Covid-19 di negara ini menunjukkan sedikit penurunan dengan 3,780 kes direkodkan hari ini berbanding 4,140 kes semalam.

Tambahan kes baharu itu menjadikan jumlah kes positif keseluruhan di Malaysia kini 470,110 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah menerusi hantaran di laman Twitter berkata dalam tempoh itu, Selangor kekal merekodkan jumlah kes harian tertinggi dengan 1,275 kes diikuti Sarawak (405) dan Kedah (363).

Kelantan merekodkan 357 kes diikuti Kuala Lumpur (342); Johor (224); Pulau Pinang (187); Pahang (159);  Melaka (122);  Perak (115); Sabah (87); Negeri Sembilan (70); Terengganu (58); Putrajaya dan Labuan masing-masing tujuh kes serta Perlis mencatatkan dua kes.

Sementara itu, Dr Noor Hisham dalam kenyataan media memaklumkan jumlah kes sembuh yang dicatatkan hari ini ialah 3,990 menjadikan kumulatif kes pulih di negara ini 426,319.

Beliau berkata seramai 520 pesakit dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 272 daripada mereka memerlukan alat bantuan pernafasan dan kes aktif COVID-19 di seluruh negara kini berjumlah 42,135.

Dr Noor Hisham berkata sebanyak 36 kes kematian dilaporkan hari ini melibatkan 35 warganegara dan seorang warga asing sekali gus menjadikan jumlah kumulatif kes kematian akibat pandemik itu ialah 1,902 kes.

Beliau berkata 11 kluster baharu dilaporkan hari ini melibatkan empat kluster institusi pendidikan, tiga kluster komuniti, dua kluster di tempat kerja dan dua kluster keagamaan.

Kluster institusi pendidikan Kementerian Pendidikan (KPM) melibatkan Kluster Jalan Sungai Panjang, Selangor; Kluster Jalan Benut Kluang, Johor; Kluster Tanah Lesen, Selangor; dan Kluster Gugusan Alam, Selangor (institusi pendidikan swasta yang berdaftar di bawah KPM), katanya.

Kluster komuniti pula melibatkan Kluster Kampung Terusan (Kelantan); Kluster Kampung Boyan (Sarawak) dan Kluster Jalan Abdul Hamid (Perak) manakala kluster di tempat kerja membabitkan Jalan Kelab Golf Tiga Belas di Selangor dan Kluster Jalan Semabok di Melaka.

Beliau menjelaskan kluster keagamaan pula melibatkan Kluster Parit Lintang di Johor dan Kluster Jalan Menteri di Sabah.

Jelasnya, jumlah kluster yang ditamatkan ialah 1,417 manakala kluster aktif adalah sebanyak 470.  – Bernama, 16 Mei, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen