Presiden AS hubungi PM Israel, presiden Palestin


Presiden AS Joe Biden hubungi PM Israel nyatakan kebimbangan terhadap keganasan di Gaza, pada masa sama menghubungi presiden Palestin gesa pejuang Hamas henti melancarkan roket ke Israel. – Gambar EPA, 16 Mei, 2021.

PRESIDEN Amerika Syarikat (AS) Joe Biden menzahirkan kebimbangan yang amat dalam terhadap keganasan di Israel dan Gaza menerusi panggilan telefon dengan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu semalam.

Secara berasingan beliau memberitahu Presiden Palestin Mahmud Abbas yang Hamas perlu melakukan gencatan roket.

 Biden terus menyatakan sokongan kuat kepada Israel dan menggesa Palestin meminta Hamas menghentikan serangan terhadap negara itu.

“Pada masa sama, beliau menyokong hak Israel untuk mempertahankan negara itu daripada serangan roket oleh pejuang Hamas dan kumpulan lain.

“Beliau mengecam serangan sembarangan ini ke atas bandar-bandar di seluruh Israel,” menurut kenyataan White House.

Selain itu, Biden menyuarakan kebimbangan terhadap keselamatan wartawan susulan serangan udara didalangi Israel semalam, yang merobohkan sebuah bangunan di Gaza.

Serangan terhadap bangunan menempatkan pejabat The Associated Press (AP), Aljazeera dan beberapa media antarabangsa lain itu turut mengundang kecaman antarabangsa termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Biden kekal berpendirian menyatakan sokongan AS kepada rundingan bagi mencari penyelesaian terhadap konflik antara Israel dan Palestin.

Menurut kenyataan sama, selain Netanyahu, Biden ketika menghubungi Abbas menegaskan komitmen utuh terhadap penyelesaian dua negara.

Bagaimanapun, AS yang mahu rundingan diadakan bagi menyelesaikan konflik Israel-Palestin, menggunakan kuasa veto menghalang Majlis Keselamatan PBB mengeluarkan resolusi bagi mengakhiri krisis itu.

Biden, yang membuat panggilan telefon pertama kepada Abbas sejak bergelar presiden AS, menekankan perlunya pejuang Hamas berhenti melepaskan tembakan roket ke Israel.

Semalam, Israel mengebom Semenanjung Gaza menerusi serangan udara, menyebabkan 10 sekeluarga maut selepas kediaman mereka musnah. – AFP, 16 Mei, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen