Situasi pusat kuarantin di Selangor makin mencabar, kata jabatan kesihatan


Ragananthini Vethasalam

Situasi di PKRC Maeps makin mencabar apabila kemasukan pesakit Covid-19 Kategori 3 semakin meningkat di pusat berkenaan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Mei, 2021.

SITUASI di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (Maeps) makin mencabar apabila kemasukan pesakit Covid-19 Kategori 3 semakin meningkat di pusat berkenaan, kata Jabatan Kesihatan Selangor.

Dalam satu kenyataan, jabatan itu berkata PKCR Maeps sedang berusaha untuk menambahbaik situasi berkenaan.

Mereka mengakui situasi di Maeps mungkin mendatangkan rasa tidak puas hati.

“Pada awalnya PKRC Maeps hanya mempunyai 60 katil untuk kategori 3 pada awal Januari lalu tetapi kini PKRC Bersepadu Maeps menempatkan seramai 757 pesakit kategori 3 dan bercadang untuk menambah kapasiti ini kepada 1,000 katil bagi menyokong sistem kesihatan di Lembah Klang selaras dengan peningkatan angka pesakit Covid-19 terkini.

“Oleh yang demikian, pesakit dengan kategori 3 ditempatkan di dewan-dewan yang berdekatan dengan ICU sementara supaya pemantauan lebih rapi dapat dilaksanakan manakala pesakit kategori 1 & 2 yang stabil ditempatkan di dewan DG,” menurut kenyataan yang dikeluarkan di Facebook. 

Terdapat lima kategori jangkitan Covid-19: 1 adalah kes positif dengan tanpa gejala, 2 adalah kes positif dengan gejala ringan, 3 adalah kes positif dengan radang paru-paru, 4 adalah kes radang paru-paru yang memerlukan oksigen dan 5 adalah kes yang memerlukan alat bantuan pernafasan.

Jabatan itu berkata pihaknya juga berusaha menempatkan warganegara dan warga asing di pusat itu secara berasingan.

Mereka menambah, pusat itu menyambut baik aduan berkenaan isu kemasukan itu dan akan melakukan penambaikan proses tersebut dari semasa ke semasa.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas seorang pesakit membuat aduan berkenaan proses pendaftaran yang lama di media sosial.

Memperincikan pengalaman menerusi Twitter, Syed Mohamed Arif berkata dia menghabiskan hampir sembilan jam di Pusat Penilaian Covid (CAC) di Stadium Melawati dan dua jam lagi pendaftaran di Maeps.

“Stadium Melawati dari 8.30 pagi sehingga 5.30 petang, mereka mengambil masa sembilan jam untuk memutuskan saya perlu pergi ke pusat kuarantin,” tulisnya di Twitter. – 16 Mei, 2021.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen