MRSM Pengkalan Hulu nafi isu tular berkaitan makanan pelajar


MAKTAB Rendah Sains Mara (MRSM) Pengkalan Hulu menafikan dakwaan pelajarnya yang sedang menjalani Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) tidak menerima makanan Hari Raya Aidilfitri, tiada bekalan makanan serta menerima makanan basi seperti yang tular di media sosial.

Yang Dipertua Badan Muafakat MRSM Pengkalan Hulu Abdul Mukti Ab Mutalib berkata semua pelajar menerima sumbangan kuih raya sehari sebelum Aidilfitri.

“Aduan bekalan makanan tidak mencukupi juga tidak benar kerana makanan banyak disumbangkan oleh pelbagai pihak sehingga berlebihan cuma waktu sahaja ada yang cepat dan lambat,” katanya.

Berkaitan makanan basi, beliau berkata ia sebenarnya disebabkan sayur tauge yang dicampur dengan cuka sebagai satu daripada bahan ramuan dalam masakan.

“Apabila diletakkan bersama dengan nasi dan lama terperap dalam bekas makanan, maka ia dikatakan basi sedangkan tidak, kerana Pihak Kawalan Operasi Bencana (PKOB) menyaring bungkusan makanan tersebut terlebih dulu,” katanya.

Mukti berkata kesihatan pelajar dan guru yang sedang dikuarantin di MRSM terbabit sentiasa terjaga dengan dipantau beberapa pegawai kesihatan selama 24 jam selain proses sanitasi turut dilakukan.

Sehubungan itu, beliau berharap ibu bapa sentiasa menasihati anak-anak mereka supaya bersabar sepanjang menjalani PKPD bermula 13 Mei lepas hingga 26 Mei ini sekali gus tidak menularkan perkara yang boleh membimbangkan masyarakat.

Ketua Polis Daerah Pengkalan Hulu DSP Zulkepli Ibrahim ketika dihubungi berkata mesyuarat penyelarasan bagi membincangkan keperluan pelajar selain isu makanan diadakan di Pejabat Daerah, pada 9 pagi semalam.

Adun Pengkalan Hulu Aznel Ibrahim pula berkata beliau dijangka melakukan lawatan ke MRSM berkenaan bersama Menteri Besar Perak Saarani Mohamad hari ini. – Bernama, 16 Mei, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen