Sasaran vaksin 20 juta penduduk di Perancis berjaya


Pegawai perubatan memberi suntikan vaksin kepada penerima menerusi sistem pandu lalu di pusat imunisasi covid-19 di Perancis. – Gambar EPA, 16 Mei, 2021.

PERANCIS mencapai sasaran memberikan 20 juta suntikan dos vaksin Covid-19 kepada rakyatnya.

Sasaran itu tercapai beberapa hari menjelang kebenaran pembukaan semula restoran, selaras dengan keputusan kerajaan menarik balik semula perintah berkurung di seluruh negara itu.

Presiden Perancis Emmanuel Macron ketika mengumumkannya berkata angka yang dicapai mewakili sekitar 30% penduduk negara itu.

Macron nerlata kerajaan menyasarkan untuk memberi dos suntikan pertama menjelang 15 Jun.

Katanya, semua golongan dewasa boleh mendaftar untuk menerima suntikan vaksinasi yang dikhususkan buat kumpulan diutamakan dan orang dewasa berusia lebih 50 tahun.

Perdana Menteri Jean Castex pula berkata hampir sembilan juta orang melengkapkan penerimaan dua dos suntikan vaksin Covid-19.

“Ini saat yang sangat penting bagi seluruh negara kerana ia menyokong prospek kita untuk menamatkan krisis ini.

“Ini dapat dicapai,” katanya kepada wartawan ketika melawat tapak vaksinasi di Pusat Persidangan Porte de Versailles di Paris.

Dengan pelaksanaan program imunisasi di negara itu, pihak berkuasa melaporkan terdapat penurunan ketara angka pesakit yang memerlukan rawatan intensif di hospital.

Pada Rabu lalu muzium, teater, panggung wayang dan dewan konsert dibenarkan beroperasi dengan kapasiti terhad selepas enam minggu ditutup bagi mengekang penularan wabak pandemik.

Perintah berkurung seluruh negara yang sebelum ini berkuatkuasa pada jam 7 malam akan dilanjutkan sehingga jam 9 malam.

Kedai yang tergolong dalam perkhidmatan tidak penting dibenarkan beroperasi semula termasuk makan di luar kafe dan restoran, selepas beberapa kali diarah ditutup sejak 30 Oktober lalu. – AFP, 16 Mei, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen