Saya maklumkan kepada Noraini pelajar UKM sakit, kata Ong Kian Ming


Ahli Parlimen Bangi Ong Kian Ming mengulas laporan memetik Noraini Ahmad sebagai berkata, kehadirannya ke ke rumah pelajar di Sungai Merab, Bangi pada Rabu lepas secara kebetulan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Mei, 2021.

NORAINI AHMAD menjemput Ong Kian Ming menziarahi pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang sakit selepas ahli parlimen Bangi itu sebelumnya memaklumkan kepada menteri berkenaan mengenai keadaan pelajar tersebut.

Ahli Parlimen Bangi itu berkata, beliau merupakan individu yang menyampaikan berita malang mengenai nasib menimpa pelajar yang mengalami kanser tahap empat itu kepada Noraini.

“Sebaik mendengar berita tersebut, beliau menghubungi Naib Canselor UKM Prof Ekhwan (Toriman) untuk mendapat butiran lanjut mengenai pelajar tersebut,” kata Ong di Facebook.

Tambahnya, susulan itu Noraini menjemput beliau untuk turut menziarahi pelajar tersebut selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di UKM.

“Selepas program lawatannya di UKM untuk berjumpa dengan sukarelawan di PPV beliau telah menjemput saya untuk mengikut menziarahi pelajar tersebut.

“Beliau sukacita untuk melawat bersama naib canselor dan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi Dr Husaini Omar,” katanya dalam hantarannya di Facebook.

Tambahnya pengikut Umno tidak perlu marah dengan tindakan Norani menjemputnya kerana ia bukan perkara yang pelik dalam dunia politik.

“Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng pernah menjemput  ahli Parlimen Kepala Batas Reezal Merican Naina ke acara DAP di Pulau Pinang.

“Khairy Jamaluddin pun sentiasa berdialog dengan ahli Parlimen DAP dan juga dan wakil parti pembangkang yang lain untuk isu kepentingan negara untuk vaksin Covid-19,” katanya.

Sementara itu, pegawai pejabat menteri menjelaskan Noraini dan Ong bertembung dalam satu majlis di UKM sebelum sama-sama ke rumah pelajar universiti itu yang sakit.

Kehadiran ahli Parlimen DAP ke program bersama Noraini tersebut menjadi perhatian sewaktu Umno berusaha membentuk jajaran politik baharu selepas parti itu memutuskan kerjasama dengan Bersatu.

Terdahulu, Noraini yang juga ketua Wanita Umno dalam satu laporan Bernama menyebut kehadiran Ong secara kebetulan dan tidak melibatkan sebarang arahan daripada pimpinan Umno.

Noraini berkata, Ong mengikut beliau dalam rombongan ziarah selepas melawat PPV di UKM.

“Saya ke PPV di UKM untuk berjumpa dengan sukarelawan MyVac yang tidak pulang ke kampung halaman untuk sambut Aidilfitri,” katanya.

Pelajar yang merupakan calon doktor falsafah UKM itu menetap dalam kawasan Parlimen Bangi diwakili Ong. – 15 Mei, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen