Demo di Parit Raja sebab kerajaan bodoh sombong, kata Pemuda DAP


Ketua Pemuda DAP Johor Sheikh Umar Bagharib Ali berkata bantahan pada malam raya berpunca daripada sikap kerajaan yang enggan dengar keluhan rakyat. – Gambar Facebook, 15 Mei, 2021.

BANTAHAN seperti dijalankan sekumpulan anak muda di Parit Raja pada malam hari raya berpunca dari kegagalan kerajaan mendengar keluhan rakyat, kata pemimpin DAP.

Ketua Pemuda DAP Johor Sheikh Umar Bagharib Ali juga menjangka lebih banyak bantahan akan berlaku jika kerajaan terus bersikap “bodoh sombong” dan mengabaikan keluhan ini.

Oleh itu kerajaan perlu segera membenarkan sidang Parlimen dan Dewan Undangan Negeri berlangsung bagi mengelakkan peristiwa seperti itu berterusan, katanya.

“Jika kerajaan terus bodoh sombong dengan menyekat saluran demokrasi menerusi sidang Parlimen, rakyat marhaen akan memilih ruang demokratik yang lain untuk ekspresi dan luahkan ketidak puasan hati mereka terhadap kegagalan kerajaan ini.

“Lihatlah sahaja di Parit Raja. Bila hal ini terjadi, Kerajaan tidak patut menyalahkan orang. Padan muka,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya peristiwa itu juga menunjukkan kerajaan Perikatan Nasional tidak boleh lagi berselindung di sebalik perintah darurat untuk menghalang sidang Parlimen berlangsung.

Katanya, kerajaan sepatutnya melihat bahawa rakyat tertekan akibat dasar yang tidak tetap dan juga layanan pilih kasih dalam menguruskan pandemik.

Selain itu beliau juga membangkitkan mengenai dakwaan campur tangan dalam urusan pelantikan pegawai tinggi polis yang perlu dibahaskan di Parlimen.

Seramai 20 pemuda berusia antara 16 hingga 28 orang ditahan dalam kejadian yang berlaku pada awal dinihari hari raya pertama pada Khamis.

Dalam perhimpunan seramai 40 orang di persimpangan di pekan Parit Raja di Jalan Batu Pahat-Kluang itu, kumpulan anak muda terbabit dilaporkan membawa kain rentang dan membakar suar.

Seorang lagi pemuda berusia 21 tahun ditahan berasingan berkaitan kain rentang yang tertera slogan “Kerajaan Gagal”.

Siasatan polis antaranya dibuat mengikut Seksyen 144, 269 dan 505 (b) Kanun Keseksaan, Seksyen 8 Akta Bahan Letupan.

Siasatan juga melibatkan Peraturan 17(1) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit dan Seksyen 48 Akta Pengangkutan Jalan. – 15 Mei, 2021.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen