KKM tambah kapasiti ICU, alat bantuan pernafasan, ambulans, kata menteri


Ragananthini Vethasalam

Sejak 9 Mei, jumlah kes ICU di seluruh negara melebih 400 pesakit, iaitu jumlah tertinggi sejak pandemik itu bermula. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Mei, 2021.

KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) akan menambah jumlah Unit Rawatan Rapi (ICU), alat bantuan pernafasan dan ambulans selepas sistem kesihatan negara mengalami tekanan akibat peningkatan jumlah kes Covid-19, kata Dr Adham Baba.

Menteri kesihatan memberitahu The Malaysian Insight KKM bekerjasama dengan agensi kerajaan lain bagi memastikan fasiliti itu mencukupi.

Antara agensi kerajaan yang terlibat termasuk Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian Pertahanan, Agensi Pengurusan Bencana Kebangsaan (Nadma), Jabatan Bomba, Jabatan Pertahanan Awam dan Persatuan Palang Merah Malaysia.

Dr Adham berkata hospital universiti seperti Universiti Malaysia, Universiti Putra Malaysia, UiTM dan Universiti Kebangsaan Malaysia akan menambah 300 lagi katil ICU.

“Hospital tentera akan menyediakan perkhidmatan ICU di lapangan dengan kapasiti 36 katil,” katanya.

Katanya langkah ini diambil berdasarkan mesyuarat penyelarasan agensi yang dipengerusikan Ketua Setiausaha KKM pada 10 Mei lalu.

KKM juga akan menyediakan tujuh ICU pasang siap yang boleh memuatkan 70 katil.

ICU pasang siap itu dibina menggunakan bahan mudah pasang bagi mewujudkan ruang tambahan yang boleh digunakan sebagai ICU.

Bekalan peralatan perubatan dan bukan perubatan juga akan disediakan bagi memastikan bekalan mencukupi untuk menampung jumlah rawatan.

“Ini antara langkah persediaan yang diambil untuk meningkatkan sumber rawatan dan perkhidmatan perubatan bagi menangani peningkatan mendadak kes Covid-19, ” katanya.

Kes jangkitan Covid-19 direkodkan antara 3,000 hingga 4,000 kes sehari sejak beberapa minggu lalu, sekali gus menyaksikan peningkatan jumlah kes aktif bermula 6 April.

Angka tersebut memaksa kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) buat kali ketiga bermula 12 Mei hingga 7 Jun.

Selain itu, jumlah katil ICU di beberapa hospital juga dilaporkan semakin menjadi kapasiti penuh.

Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow baru-baru ini berkata semua katil ICU di negeri itu sudah penuh.

Sejak 9 Mei, jumlah kes ICU di seluruh negara melebih 400 pesakit, iaitu jumlah tertinggi sejak pandemik itu bermula.

Semalam, Malaysia mencatatkan jumlah kes ICU paling tinggi dengan 481 kes dengan 247 daripadanya memerlukan bantuan alat pernafasan.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah baru-baru ini memaklumkan pengarah hospital kerajaan agar bersedia menghadapi peningkatan jumlah kes Covid-19 dengan simptom yang serius.

Dalam satu surat bertarikh 7 Mei yang dilihat The Malaysia Insight, Dr Noor Hisham memberi beberapa sebab keadaan itu berlaku termasuk kadar kebolehjangkitan yang tinggi iaitu 1.07 di seluruh negara, musim perayaan, kekurangan vaksi dan populasi tinggi di beberapa kawasan.

Beliau berkata lebih banyak kes akan melibatkan simptom 3, 4 dan 5, dengan kumpulan warga emas dan mereka yang mempunyai penyakit kronik berdepan risiko paling tinggi. – 14 Mei, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen