Kes pesakit Covid-19 masuk ICU terus meningkat


Ragananthini Vethasalam

Sebanyak 354 pesakit diletakkan di unit itu sejak 6 Mei lalu dan kemudian meningkat dari hari ke sehari, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Mei, 2021.

MALAYSIA sekali lagi mencatatkan rekod baharu kes pesakit Covid-19 yang ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) bagi tempoh seminggu lebih.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata sebanyak 481 kes Covid-19 kini ditempatkan di ICU setakat pukul 12 tengah hari hari ini.

Katanya daripada jumlah itu, sebanyak 247 pesakit memerlukan bantuan alat pernafasan.

Ini bermakna Malaysia memecahkan rekod baharu bagi kes ICU buat hari kelapan berturut-turut.

Sebanyak 354 pesakit diletakkan di unit itu sejak 6 Mei lalu dan kemudian meningkat dari hari ke sehari.

Jumlah itu bertambah kepada 372 pada 7 Mei, 393 (8 Mei), 416 (9 Mei), 434 (10 Mei), 453 (11 Mei), dan 469 pada semalam.

Bagi kes kematian, sebanyak 27 korban dicatatkan hari ini, angka kedua tertinggi yang pernah direkodkan.

Semalam, Malaysia mencatatkan kes korban paling tinggi dengan 39 kematian.

Jumlah korban kini meningkat kepada 1,788. – 13 Mei, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen