TNB jamin bil sebenar sepanjang PKP


Operasi perkhidmatan TNB berjalan seperti biasa sepanjang tempoh PKP sehingga 7 Jun ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Mei, 2021.

TENAGA Nasional Berhad (TNB) memberi jaminan semua pelanggannya akan menerima bil elektrik sebenar dan bukan bil anggaran semasa pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) ketiga yang bermula hari ini.

TNB berkata operasi perkhidmatannya berjalan seperti biasa sepanjang tempoh PKP sehingga 7 Jun ini.

“Pembacaan meter akan berjalan seperti biasa dengan mengikuti prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan pihak berkuasa, bagi memastikan pengguna menerima bil sebenar dan bukan bil anggaran,” kata syarikat itu dalam satu kenyataan.

Ia juga memberitahu Kedai Tenaga dan kiosk layan diri, termasuk di Pusat Transformasi Bandar (UTC), juga dibuka.

Semasa PKP pertama antara Mac dan Mei tahun lalu, TNB menangguhkan pembacaan meter elektrik biarpun pada ketika itu perkhidmatan elektrik dikategorikan sebagai perkhidmatan perlu yang dikecualikan daripada sekatan pergerakan.

TNB ketika itu memberi alasan pembaca meternya tidak dapat menjalankan tugas seperti biasa kerana sekatan pergerakan.

Ini menyebabkan TNB mengeluarkan bil anggaran kepada pengguna sebelum bacaan sebenar dikeluarkan pada Jun 2020. 

Pengguna rata-rata merungut bil bacaan sebenar itu terlalu tinggi setelah dirangkum penggunaan sejak bacaan sebenar terakhir. Malah ada yang mendakwa ia tidak masuk akal, kerana sesetengah premis terlibat ditinggal tidak berpenghuni semasa PKP.

TNB kemudian menjelaskan ia menggunakan kaedaah pengiraan bil yang betul, yang bertujuan tidak membebankan pengguna.

Syarikat utiliti itu juga menawarkan pelan bayaran mudah secara automatik selain menangguhkan pemotongan bekalan atau surcaj bayaran lewat.

Kerajaan pula kemudian memberikan kemudahan diskaun kepada pengguna yang diumumkan dalam pakej rangsangan ekonomi, yang ditawarkan sehingga Jun ini.

Pengerusi TNB Mahdzir Khalid juga baru-baru ini berkata syarikat itu kini lebih bersiap sedia menghadapi keadaan di bawah pelaksanaan PKP. β€“ 12 Mei, 2021.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen