Sekat pergerakan segera untuk tangani Covid-19, kata Umno


Naib Presiden Umno Mohamed Khaled Nordin berkata membataskan pergerakan manusia adalah jalan terbaik untuk memutuskan rangkaian wabak Covid-19.– Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Mei, 2021. 

MALAYSIA mesti segera melaksanakan lockdown bagi mengekang penularan jangkitan Covid-19 di negara ini, kata Mohamed Khaled Nordin.

Naib presiden Umno berkata ketika prosedur operasi standard (SOP) tidak lagi berkesan, membataskan pergerakan manusia adalah jalan terbaik untuk memutuskan rangkaian wabak Covid-19.

Beliau berkata negara maju juga telah mengambil langkah pencegahan sama untuk menangani pandemik.

“Negara sekali lagi berada dalam keadaan yang gawat kerana kejangkitan Covid-19 yang menaik.

“Malaysia mesti segera melaksanakan ‘lockdown’ bagi mengekang penularan ini. Jangan lagi teragak-agak dengan arahan yang mengelirukan. Apalagi bila protokol kesihatan tidak lagi berkesan kerana rakyat telah mula menunjukkan sindrom keletihan terhadap SOP.

Negara maju terus mengambil pendekatan drastik seperti ‘lockdown’ walaupun mereka mempunyai kebitaraan unggul dalam mengumpul dan memahami data,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kerajaan menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di beberapa daerah di Selangor bermula 6 hingga 17 Mei, manakala Kuala Lumpur dan beberapa daerah di Terengganu, Johor dan Perak dikenakan PKP bermula 7 hingga 20 Mei.

Selain itu, beberapa daerah di Pulau Pinang dan Pahang serta beberapa mukim di Perak turut dikenakan PKP selama dua minggu bermula 10 Mei.

Khaled turut menggesa semua sektor ekonomi memberi laluan kepada apa yang beliau sifatkan sebagai “darurat kesihatan”.

Khaled berkata rakyat Malaysia tidak kira orang kenamaan, politik mahupun rakyat mesti berkorban dan melupakan segala bentuk kunjungan Hari Raya walaupun dalam daerah yang sama bagmengelakkan jangkitan.

“Ingatlah, dengan proses vaksinasi yang perlahan, kemampuan kemudahan perubatan telah berada pada tahap maksimum dan petugas kesihatan semakin tertekan.

“Malaysia berada pada fasa kritikal dalam menangani wabak ini,” katanya.

Khaled juga berkata kerajaan mesti mempertingkatkan kebolehgunaan fungsi MySejahtera bagi memastikan ia menjadi aplikasi yang rakyat Malaysia perlukan pada setiap saat dan ketika bagi menjaga keselamatan diri mereka.

Menurutnya keupayaan sedia ada MySejahtera seharusnya ketika ini sudah melangkaui keupayaan sekadar imbasan QR.

“Ia seharusnya sudah berupaya memaklum individu jika mereka pernah berada dalam jarak yang dekat dengan individu positif Covid (‘proximity notification’),” katanya.

Kerajaan juga mesti mempertingkatkan kebolehgunaan fungsi MySejahtera bagi memastikan ia menjadi aplikasi yang rakyat Malaysia perlukan pada setiap saat dan ketika bagi menjaga keselamatan diri mereka.

Semalam, Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan turut menggesa kerajaan untuk melaksanakan langkah sekatan pergerakan yang ketat pada musim perayaan memandangkan situasi Covid-19 yang semakin teruk di negara ini.

Menjelang Hari Raya Aidilfitri pada 13 Mei, Mohamad memberi amaran bahawa segala bentuk perjalanan, ziarah dan sambutan semasa Raya hanya akan memburukkan keadaan, walaupun dengan adanya protokol kesihatan yang ketat.– 9 Mei, 2021. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen