Covid-19 makin parah, Kelantan arah tutup semua gerai penjaja


KERAJAAN negeri Kelantan mengarahkan semua gerai penjaja tepi jalan dan penjaja bergerak ditutup bermula esok untuk mengelak peningkatan mendadak kes Covid-19 di negeri itu.

Laporan Malaysiakini yang memetik kenyataan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Kelantan menyebut, aktiviti gerai penjaja berkenaan dikesan antara punca rebakan jangkitan.

“Antara aktiviti yang dikenal pasti menarik perkumpulan sedemikian pada masa ini adalah gerai atau penjaja tepi jalan, penjaja beredar dan seumpamanya yang dilihat tidak mematuhi SOP Majlis Keselamatan Negara,” kata kenyataan itu.

Oleh itu kerajaan negeri menegaskan tindakan akan diambi sekiranya larangan tersebut dilanggar.

β€œ... Pihak berkuasa tempatan akan mengambil langkah menguatkuasakan penutupan gerai atau penjaja tepi jalan, penjaja beredar dan seumpamanya bermula 9 Mei.

“Para peniaga dan masyarakat diminta mematuhi arahan ini bagi mengelakkan tindakan diambil di bawah peraturan yang berkuat kuasa dari semasa ke semasa,” kenyataan itu dipetik.

Langkah memperketat prosedur operasi standard (SOP) itu ekoran arah kerajaan Pusat yang menolak permohonaan kerajaan negeri melaksana perintah kawalan pergerakan (PKP) lebih ketat.

Peniaga di negeri itu membuka gerai di tepi jalan selepas kerajaan negeri melarang semua bentuk penganjuran bazar Ramadan dan bazar Aidilfitri.

PKP berkuatkuasa di negeri itu sehingga 17 Mei dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) juga dikuatkuasa di beberapa lokaliti.

Lebih 16,000 kes aktif Covid-19 sedang ditangani di negeri itu pada waktu ini, dengan kadar kematian empat orang sehari.

Setiausaha kerajaan negeri juga menyebut, lebih 2,000 dikenakan perintah kuarantin di rumah dan lebih 4,000 kini sedang menjalani pengawasan. β€“ 8 Mei, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen