Faktor mengapa KWAN tidak boleh disentuh


PERSATUAN Pengguna Pulau Pinang (CAP) amat terkejut bahawa kerajaan telah menggunakan kuasa darurat untuk mengambil wang Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) bagi perbelanjaan vaksin pada 21 April 2021.

Seksyen kecil ditambah kepada Akta KWAN yang membenarkan penggunaan dana KWAN untuk “perolehan vaksin dan sebarang perbelanjaan yang dilakukan berkaitan vaksin untuk epidemik daripada sebarang jangkitan penyakit seperti yang dinyatakan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342)”.

Dengan pemasukan ini, terdapat implikasi yang serius bagi proses demokratik terhadap penggunaan dana.

Ia menunjukkan bagaimana mudahnya perundangan boleh dipinda tanpa membahaskannya di Parlimen menggunakan Proklamasi Darurat yang dilaksanakan pada Januari 2021.

Ia membuatkan seluruh masa depan negara terdedah dengan keputusan oleh hanya beberapa orang dan tanpa perbincangan yang tepat berhubung isu ini.

Objektif KWAN ialah untuk memastikan generasi masa depan juga dapat menikmati manfaat daripada sumber yang semakin pupus seperti minyak dan gas. Ia tidak seharusnya dihabiskan oleh generasi sekarang.

Pada 27 April 2021, Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19, Khairy Jamaluddin, menjelaskan jumlah RM5 bilion yang diambil daripada KWAN, RM3 bilion akan digunakan untuk perolehan vaksin dan RM2 bilion untuk perbelanjaan lain yang dilakukan dalam perlaksanaan program imunisasi.

Kami amat prihatin kerana Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz menyatakan nilai aset KWAN ialah TM19.5 bilion sehingga 31 Disember 2020.

Menggunakan RM5 bilion daripada KWAN bermakna menggunakan 25.64 peratus daripada apa yang dikumpulkan lebih daripada setengah abad untuk vaksinasi.

KWAN mempunyai objektif yang sama dengan dana minyak Norway iaitu untuk generasi masa depan. Dana minyak Norway dianggap salah satu dana terbesar dunia berjumlah NOK11.08 trilion (RM5.4 trilion) yang dilaburkan dalam lebih daripada 9,000 syarikat di seluruh dunia dan pelaburan yang berhemah bentuk lain.

Kerajaan tidak seharusnya melayan Petronas sebagai bank simpanan yang tidak habis-habis kerana menurut laporan 2019, rizab minyak dan gas Malaysia dijangka bertahan hanya 10 tahun lagi, berdasarkan kadar pengeluaran purata tahunan.

Sementara kerajaan gembira dengan peranan Petronas dalam ekonomi, ia tidak menghiraukan hakikat bahawa seluruh dunia kini mula memisahkan daripada bahan api fosil yang menyumbang kepada masalah alam sekitar.

Langkah itu adalah selaras dengan Perjanjian Paris di mana 194 negara dan Kesatuan Eropah menandatangani perjanjian itu sehingga Mac 2021 yang memerlukan negara secara aktif memajukan teknologi baharu untuk membantu mengurangkan pelepasan global dan bekerjasama dalam melancarkan pemindahan teknologi kepada negara lain.

Walaupun ia mungkin tidak dapat menghapuskan penggunaan bahan api fosil sama sekali, ia akan memberikan kesan negatif kepada penggunaannya secara keseluruhan.

Oleh sebab itu, Petronas tidak dapat tidak akan menghadapi masa yang mencabar memandangkan dunia beralih ke arah sumber tenaga boleh diperbaharui.

Kami menggesa kerajaan supaya mengisytiharkan penyumbang kepada KWAN di samping Petronas kerana undang-undang membenarkan bagi “semua geran, derma, wakaf, hadiah, sumbangan dan mewarisi” dibuat oleh “mana-mana orang atau pihak berkuasa yang mana perniagaan termasuk penyelidikan atau pembangunan sumber yang akan pupus”.

Alasannya sehingga sekarang, tidak pernah didedahkan daripada sumber lain manakah KWAN memperoleh dana.

Memandangkan dana ini bertujuan untuk generasi masa depan, orang ramai perlu untuk mengetahui bagaimana dana ini dilabur dan bagaimana ia akan dibelanjakan.

Adakah industri kayu balak menyumbang kepada dana ini kerana hutan kita adalah ‘sumber yang akan pupus’ dan menurut Pusat Pemantauan Pemuliharaan Dunia Program Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UN WCMC), Malaysia mengeksport AS$5.5 bilion (RM22.53 bilion) nilai produk kayu pada 2018 sahaja. – 4 Mei, 2021.

* Mohideen Abdul Kader, presiden Persatuan Pengguna-Pengguna Pulau Pinang. 

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen