Najib: 'No moral standing' atau sebenarnya penjenayah?


HARI ini begitu keras respons daripada kem bekas perdana menteri Najib Razak, apabila dikatakan beliau tidak mempunyai “moral standing” lagi dalam politik Malaysia.

Berduyun-duyun juga bala tentera cyber-troopers upahan dan juga penyokong tegar turut bersama mempertahankan “boss” kesayangan mereka.  

Hakikatnya Najib hanya berlakon. Najib sebenarnya sedang cuba sedaya upaya memadamkan ingatan rakyat terhadap segala tuduhan kleptokrasi dan rasuah yang dihadapi oleh beliau dan isterinya Rosmah Mansor.

Sememangnya Najib tidak mempunyai sebarang asas moral atau integriti untuk berlakon seolah-olah baik. Bukan sahaja rakyat Malaysia, malahan seluruh dunia tahu betapa Najib inilah yang dituduh merompak negara berbilion-bilion ringgit.

Najib inilah yang memecat Muhyiddin dan menggantikan dengan Ahmad Zahid Hamidi apabila Muhyiddin bertegas melawan rasuah dan salah guna kuasa. 

Najib inilah juga yang dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta, selepas didapati bersalah terhadap tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram. Ini semua kesalahan jenayah.

Ini bukan fitnah, bukan tuduhan tidak berasas mahupun ejekan. Ini adalah fakta sebenar yang kem beliau berusaha keras untuk kuburkan dari naratif dan perbualan rakyat. 

Jadi, apabila Ketua Penerangan Bersatu Wan Saiful Wan Jan berkata Najib “tidak mempunyai ‘moral standing’”, sebenarnya panggilan itu boleh dianggap masih terlalu berdiplomasi.

Hakikatnya Najib adalah seorang yang telah dijatuhkan hukuman akibat kesalahan jenayah besar terhadap rakyat Malaysia.

Saya yakin rakyat tidak akan terpengaruh dengan asakan politik Najib kerana rakyat tahu beliau sedang cuba mengubah persepsi rakyat.

Mungkin Najib takut satu hari nanti rakyat akan menggelar beliau sebagai penjenayah. – 4 Mei, 2021.

* Mohd Yazid Mohd Yunus, ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu dan timbalan ketua Badan Pimpinan Negeri Bersatu Pahang.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen