Denmark enggan guna vaksin Covid-19 Johnson & Johnson


Setakat ini, 11.5% daripada 5.8 juta penduduk Denmark sudah menerima dos lengkap vaksin Covid-19, manakala 23.4% diberikan dos pertama. – Gambar EPA, 4 Mei, 2021.

DENMARK akan menyekat penggunaan vaksin Covid-19 keluaran Johnson & Johnson (J&J) susulan kebimbangan isu darah beku, susulan langkah sama terhadap vaksin AstraZeneca.

Pihak Berkuasa Kesihatan Denmark memaklumkan keputusan itu berdasarkan kenyataan Agensi Perubatan Eropah (EMA) yang menyimpulkan wujud kaitan antara kes darah beku kronik yang jarang berlaku dengan vaksin J&J.

Bagaimanapun, EMA dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyarankan vaksin J&J digunakan kerana manfaatnya melebihi risiko.

Namun, pihak berkuasa kesihatan Denmark berkata situasi epidemiologi semasa di negara Scandinavia itu menunjukkan tiada keperluan untuk negara itu menggunakan vaksin J&J, sebaliknya akan bergantung pada vaksin Pfizer/BioNTech dan Moderna.

“Pihak Berkuasa Kesihatan Denmark memutuskan manfaat penggunaan vaksin Covid-19 keluaran J&J tidak melebihi risiko kemungkinan kesan sampingan terhadap penerima vaksin itu.

“Sehubungan itu, Pihak Berkuasa Kesihatan Denmark akan meneruskan program imunisasi besar-besaran terhadap Covid-19 tanpa vaksin J&J,” katanya.

Pihak Berkuasa Kesihatan Denmark berkata epidemik di negara itu terkawal ketika ini, dan program agihan vaksin menggunakan bekalan vaksin sedia ada, sudah berada pada tahap memuaskan.

Bagaimanapun, Denmark mengakui keputusan menolak vaksin J&J bermakna kempen imunisasi di negara itu akan tertangguh empat minggu, dan menjangkakan semua individu berusia 16 tahun ke atas akan selesai menerima vaksin menjelang hujung Ogos.

Pada pertengahan bulan lalu, Denmark mengumumkan tidak akan menggunakan vaksin AstraZeneca selepas menangguhkan penggunaannya pada Mac atas kebimbangan sama, sekali gus menjadi negara pertama di Eropah yang menyekat penggunaan vaksin AstraZeneca.

Setakat ini, 11.5% daripada 5.8 juta penduduk Denmark sudah menerima dos lengkap vaksin Covid-19, manakala 23.4% diberikan dos pertama.

Vaksin J&J sedang digunakan di 17 negara, manakala AstraZeneca di 160 negara, Pfizer 80 negara dan Moderna 40 negara. – AFP, 4 Mei, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen