Bukan Takiyuddin yang kawal Parlimen, kata Kit Siang


Ahli Parlimen Iskandar Puteri Lim Kit Siang menegaskan tiada menteri, malah perdana menteri sendiri yang boleh mengawal atau mengatasi Parlimen yang bertindak sebagai mekanisme semak dan imbang ke atas kuasa eksekutif. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Mei, 2021.

PARLIMEN bukan di bawah kawalan Menteri Undang-undang Takiyuddin Hassan untuk memutuskan sama ada Dewan Rakyat boleh bersidang atau tidak semasa darurat, kata Lim Kit Siang.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu menegaskan tiada menteri, malah perdana menteri sendiri yang boleh mengawal atau mengatasi Parlimen yang bertindak sebagai mekanisme semak dan imbang ke atas kuasa eksekutif.

“Bukan Takiyuddin Hassan atau perdana menteri yang tentukan bila Parlimen perlu bersidang, tetapi Perlembagaan Persekutuan.

“Kabinet termasuk Takiyuddin, telah melanggarnya dengan tidak membenarkan Parlimen bersidang,” katanya dalam kenyataan.

Lim merujuk kenyataan Takiyuddin baru-baru ini yang berkata kerajaan memberi jaminan Parlimen akan segera dipanggil bersidang apabila tiba masa yang sesuai, kerana keutamaan ketika ini ditumpukan kepada usaha mengawal serta mencegah wabak Covid-19.

Menurut Lim, Takiyuddin silap jika beranggapan menteri itu lebih berkuasa atau lebih penting daripada speaker Dewan Rakyat untuk menentukan sama ada boleh atau tidak Parlimen bersidang.

“(Kerajaan) sepatutnya menyerahkan perkara-perkara seperti apakah bentuk perlindungan yang harus diambil dalam menghadapi pandemik Covid-19 kepada speaker dan jawatankuasa Parlimen yang berkaitan.

“Adakah Takiyuddin sedar bahawa speaker Dewan Rakyat berada di tangga ke-13 dalam senarai protokol, seperti yang disiarkan dalam Perintah Keutamaan Persekutuan, sementara menteri Kabinet termasuk menteri Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) berada di bawah senarai, di tangga ke-16 dalam senarai protokol?

“Oleh itu, tidak masuk akal bagi Takiyuddin untuk menganggap dirinya sebagai ketua Parlimen yang memutuskan sama ada Parlimen boleh bersidang atau tidak,” katanya. – 3 Mei, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen