Polis tak tunduk kepada menteri, kata Hanif Omar


Bekas ketua polis negara Hanif Omar berkata Suruhanjaya Pasukan Polis dan menteri tidak boleh mencampuri urusan PDRM. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Mei, 2021.

MENTERI tiada kuasa untuk “kawal dan perintah” Polis Diraja Malaysia (PDRM), kata Hanif Omar, susulan pendedahan Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador mengenai campur tangan politik dalam pasukan itu.

Hanif dipetik Free Malaysia Today berkata perkara itu telah ditetapkan dalam Akta Polis 1967 yang menyatakan bahawa Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) dan menteri tidak boleh mencampuri urusan PDRM.

Bekas ketua polis negara selama 20 tahun itu mengulas pendedahan Hamid mengenai campur tangan Hamzah, yang juga pengerusi SPP, berhubung pertukaran pegawai kanan polis.

Pada sidang media terakhirnya Jumaat lalu, Hamid memberi amaran campur tangan politik dalam urusan PDRM mesti dihentikan serta merta demi masa depan negara.

Beliau tanpa berselindung mendedahkan Hamzah melanggar batas campur tangan dalam urusan pentadbiran pasukan polis.

Hamid mendedahkan campur tangan itu beberapa jam selepas Hamzah mengaku suara beliau dalam perbualan mengatur pertukaran pegawai kanan polis yang tersebar sejak beberapa hari lalu.

“Seorang menteri tidak boleh campur tangan dalam kawal selia pasukan PDRM.

“Menteri hanya diberi kuasa untuk tetapkan dasar.

“Sejak awal lagi beliau (Hamzah) mendesak diberi kuasa untuk tempatkan orang (pegawai) di situ, di situ,” katanya.

Hamid bersara hari ini dan dan tugasnya akan digalas oleh timbalannya Acryl Sani Abdullah Sani. 

Sebagai ketua polis negara ke-12, Hamid lantang dan tegas memerangi rasuah dalam pasukan polis.

Kelantangan Hamid itu bagaimanapun dikecam pelbagai pihak termasuk dalam kalangan pasukan PDRM sendiri dan ahli politik yang menyifatkan tindakannya seperti membuka pekung di dada.

Pada sidang media sama Jumaat lalu, Hamid turut menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat dakwaan rasuah ahli politik yang melompat parti.

Semalam, bekas ketua polis negara Musa Hassan juga mengakui campur tangan politik berlaku semasa beliau bertugas dari 2006 hingga 2010.

“Ketika zaman saya dahulu, ada orang politik yang suruh polis bebaskan geng mereka dan ada juga yang beri arahan kepada ketua polis negeri tanpa pengetahuan saya.

“Campur tangan politik ini berlaku membabitkan operasi sehingga ia boleh menyebabkan proses siasatan terganggu,” katanya dipetik Mingguan Malaysia.

Musa berkata tiada siapa yang berkuasa mutlak dalam soal menukar dan melantik pegawai yang berkhidmat dalam pasukan polis.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Takiyuddin Hassan semalam dipetik Bernama menasihatkan ketua-ketua perkhidmatan dalam kerajaan agar lebih berhati-hati ketika bercakap mengenai undang-undang serta tidak membuat tafsiran mengikut emosi.

Katanya, mana-mana pihak juga tidak boleh sewenang-wenangnya membuat pentafsiran terhadap peruntukan perlembagaan kerana undang-undang adalah suatu perkara jelas.

“Sebagai contoh, dalam Perlembagaan Perkara 140 jelas mengatakan bahawa untuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) ada satu suruhanjaya yang dinamakan Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP). 

“Ini adalah satu suruhanjaya yang akan mengendalikan urusan berkaitan kenaikan pangkat, tatatertib, perkara kebajikan dan sebagainya terhadap seluruh anggota polis berjumlah hampir 130,000,” katanya. – 3 Mei, 2021. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen