Rakyat kecewa dengan Perikatan, simpati kepada Najib, kata penganalisis


Imej "Bossku" oleh Najib Razak membolehkannya rapat dengan belia yang kecewa dengan kerajaan, kata penganalisis.

POPULARITI bekas perdana menteri Najib Razak adalah manifestasi kekecewaan terhadap kerajaan dan pemimpin masa ini, kata penganalisis.

“Saya percaya ada rakyat sudah cenderung padanya sebab mereka kecewa dengan keadaan mereka sekarang yang mana Najib berjaya kaitkan dengan kegagalan Perikatan Nasional,” kata Dr Tunku Mohar Tunku Mohd Mokhtar dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

“Lebih-lebih lagi, Najib menyuarakan kekecewaan terhadap sistem ini seperti dirasakan banyak pihak,” kata pensyarah sains politik itu.

Tunku Mohar berkata Najib bahkan mendapat sokongan akar umbi Umno sekali lagi setelah meletakkan jawatan pada 2018 berikutan kekalahan pilihan raya pertama Barisan Nasional di peringkat persekutuan.

“Tetapi saya rasa ini disebabkan kepemimpinan Umno yang lemah. Kelemahan ini telah mengembalikan rasa nostalgia di kalangan ahli Umno terhadap kepimpinan Najib,” tambahnya.

Katanya kebangkitan Najib agak serupa dengan ketika kembalinya Dr Mahathir Mohamad dalam arena politik tanah air pada 2018.

Dr Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia mengaitkan kembalinya Najib dengan kemampuannya menjenamakan semula dirinya selepas 2018.

“Walaupun, beliau berada pada tahap rendah selepas PRU14 dan dipaksa mengundurkan diri sebagai presiden Umno, Najib jumpa jalan baru untuk menaikkan dirinya di media sosial,” kata Mazlan.

Katanya imej “Bossku” oleh Najib telah membolehkannya rapat dengan pemuda yang kecewa dan ini telah membantu kejayaan “fenomena” di media sosial.

Semakan pada Januari menyaksikan Najib mendapat keterlibatan (engagement) Facebook paling banyak dengan 4.4 juta klik dalam seminggu. Selepas Najib, ahli politik tertinggi adalah Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Abdul Rahman, pengerusi Pakatan Harapan Anwar Ibrahim dan Dr Mahathir.

Di samping imejnya, Mazlan berkata orang ramai turut bersimpati dengan Najib.

“Mereka melihat beliau dituduh melakukan banyak kes rasuah dan penyalahgunaan kuasa, malah kes bankrap oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri. Tetapi di sebalik jumlah kes melibatkannya, ketenangan Najib membuatkan lebih ramai penyokong Melayu bersimpati dengan bekas pemimpin mereka,” kata Mazlan.

Katanya masalah undang-undang Najib telah memungkinkan ramai orang untuk bersimpati dengan keadaannya.

Tidak seperti negara lain, Mazlan berkata rakyat Malaysia pada amnya lebih bertolak ansur dengan rasuah.

“Ramai yang akan berkompromi dengan pemimpin mereka yang korup selagi kepentingan mereka dijaga,” kata penyelidik sains politik itu.

“Lebih dari itu, Najib juga terus tampil secara spontan di pasar malam dan bazar Ramadan di daerahnya Pekan, membuatkannya lebih mudah didekati dan disukai pengundi sekarang,” kata Mazlan.

Najib ketika ini berhadapan empat kes rasuah dan penyalahgunaan kuasa berasingan melibatkan 1MDB-Tanore, mengganggu laporan audit 1MDB, dan saman pelucutan 1MDB.

Beliau turut membuat rayuan kes SRC International di mana beliau didapati bersalah dan dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta kerana menyalah guna kuasa dan menerima RM42 juta semasa menjadi perdana menteri. – 2 Mei, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen