Pulihkan ekonomi, wujudkan peluang pekerjaan


ISU kritikal yang dihadapi rakyat Malaysia hari ini adalah isu pekerjaan. Kegagalan kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk menguruskan ekonomi negara dengan baik telah menyebabkan jumlah pengangguran semakin meningkat sebanyak 782,500 orang pada kadar 4.9 peratus pada Januari 2021. 

Kemerosotan pelaburan asing langsung (FDI) pada tahun 2020 sebanyak 68 peratus ke AS$2.5 bilion telah menjejaskan ekonomi negara dan seterusnya menambah pengangguran dalam kalangan rakyat. 

Keadaan ini bertambah teruk apabila syarikat-syarikat besar menarik pelaburan yang besar ke Indonesia terutama dalam industri aotomotif seperti Hyundai sebanyak RM4.02 bilion, Toyota sebanyak RM8.04 bilion, syarikat bateri CATL sebanyak RM20.09 bilion dan syarikat LG Chem sebanyak RM39.37 bilion. 

Kemerosotan ekonomi turut menjejaskan bidang perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang menyumbang hampir 98 peratus perniagaan dalam negara apabila hampir 32,000 perniagaan telah ditutup sejak tahun lepas. 

Keadaan-keadaan ini sudah pasti memberi kesan kepada peluang pekerjaan rakyat Malaysia dan meningkatkan jumlah pengangguran.

Kes-kes pembuangan kerja meningkat saban hari dan pandemik Covid-19 tidak harus dijadikan alasan kemorosatan ekonomi. 

Selain itu, jumlah gaji yang diterima rakyat negara ini semakin mengecil walaupun kos sara hidup semakin meningkat yang menyaksikan meningkatnya inflasi kepada kadar 5 peratus pada tahun ini. 

Bagi tahun 2020, gaji permulaan majoriti pemegang ijazah sarjana muda di Malaysia telah jatuh 40-50%, malah ramai anak muda telah menerima bawah paras gaji minima RM1,100 dan RM1,200 di bandar utama yang ditetapkan oleh Kerajaan Pakatan Harapan (PH) dahulu.

Mereka hanya menerima gaji sekitar RM1,001-RM1,500 pada tahun 2020 berbanding RM2,001-RM2,500 pada tahun 2019. 

Walaupun kerajaan PN mengumumkan pelbagai pakej rangsangan ekonomi bernilai RM260 bilion, namun ia tidak dibentuk dengan tepat kerana gagal mengelakkan pengangguran melonjak tinggi.

Begitu juga Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) berjumlah RM35 bilion juga gagal. 

Kerajaan PN dilihat tiada pelan tersusun sebagai ‘exit strategy’ dalam menangani isu kritikal ini.

Subsidi gaji sebanyak RM600 yang diperkenalkan menerusi pakej rangsangan ekonomi hanyalah sekitar 17% jumlah gaji yang dibayar oleh sektor swasta Malaysia.

Ini pastinya tidak mencukupi dan tidak mampu mencegah pembuangan kerja. Jika dibandingkan dengan negara lain, UK memberi subsidi gaji sebanyak 80%, manakala Singapura, Perancis dan Kanada memberi subsidi gaji sehingga 75% daripada gaji pekerja. 

Rakyat Malaysia sudah pasti merindui kemampuan PH mentadbir negara yang mana dalam tempoh 22 bulan pemerintahan, bukan sahaja ekonomi berkembang baik sekitar 4.3 peratus dan hasil negara juga meningkat 13.5 peratus kepada RM264.4 bilion, malah sentimen pekerjaan semakin baik. 

Antara kejayaan PH adalah:

i. Meningkatkan gaji minima kepada RM1,100 dan RM1,200 di bandar utama dan menyeragamkan gaji minima di seluruh negara, berbanding di mana di zaman BN, gaji minima di Sabah dan Sarawak lebih rendah. 

ii. Sentimen pasaran buruh sangat baik dengan paras gaji penengah naik 5.8%. 

iii. Kadar pengangguran kekal rendah sebanyak 3.3% pada tahun 2018 dan 2019. Kadar ini lebih baik daripada zaman BN iaitu 3.4% untuk 2016 dan 2017. 

iv. Untuk menarik golongan wanita kembali ke pasaran kerja, inisatif “Women@work” kerajaan PH membayar wanita RM500 setiap bulan untuk 2 tahun. Insentif cukai dan bukan cukai kepada majikan untuk mengambil wanita sebagai pekerja turut diberikan. 

v. Bagi membantu anak muda yang menggangur, kerajaan PH melancarkan “Graduate@work” dan turut memberikan insentif kewangan untuk mereka diambil kerja.

Kerajaan PN harus segera mengambil tindakan tuntas dan konkrit memulihkan ekonomi bagi mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan di kalangan rakyat. 

Pelaburan asing akan lebih merosot jika keyakinan pelabur asing tidak dipulihkan akibat kehilangan majoriti kerajaan PN dan meningkatnya amalan rasuah termasuk ‘scheme of things’ dan pemberian kontrak secara terus yang menyebabkan indeks persepsi rasuah (CPI) negara jatuh ke tangga 57 berbanding 51 di zaman PH. 

Kegagalan PN ini perlu diberhentikan dan rakyat perlu bangkit mendesak kerajaan PH dikembalikan mentadbir negara ini. – 1 Mei, 2021

* Faiz Fadzil, ahli pimpinan pusat Amanah

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen