Mengapa Hamid baru kini bersuara?


SERANGAN Ketua Polis Negara (KPN), Abdul Hamid Bador terhadap Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainuddin atas dakwaan campur tangan dalam pasukan polis di saat-saat akhir perkhidmatannya akan berakhir adalah sesuatu yang pelik dan tidak wajar sama sekali.

Jika benar campur tangan itu kononnya berlaku sejak hari pertama Hamzah dilantik sebagai menteri dalam negeri, kenapa Hamid selama ini hanya berdiam diri?

Mengapa hanya setelah nama penggantinya diumumkan, baru beliau mahu bersuara?

Adakah jika khidmat Hamid disambung lagi sebagai KPN, beliau tetap akan bersuara dengan nada yang sama atau tiba-tiba memuji Hamzah?

Dalam hal ini, Hamid sepatutnya memahami bidang tugas Hamzah selaku menteri dalam negeri yang dalam waktu yang sama adalah juga pengerusi Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP).

Kedua-dua mereka mempunyai tugas dan peranan masing-masing dalam pasukan polis dan dalam sistem kerajaan yang mengamalkan demokrasi berparlimen.

Adalah tidak wajar Hamid menyerang Hamzah tanpa mengambil kira peranan dan kedudukannya yang sama-sama penting ibarat aur dengan tebing dengan ketua polis negeri dalam pasukan polis.

Janganlah mengutuk dan mencerca orang politik hanya kerana tidak berpuas hati atas sesuatu perkara yang dihajati, tetapi tidak berjaya diperolehi.

Lagi pun, bukankah Hamidi sendiri sebenarnya sudah bersara sebelum ini dan khidmatnya sebagai KPN hanya berdasarkan kontrak semata-mata?

Hamid sepatutnya bersyukur memperolehi kedudukan tertinggi dalam pasukan polis, sedangkan telah bersara dengan jawatan terakhir sebagai pengarah Cawangan Khas dan kemudian memilih kerjaya sebagai peladang untuk menghabiskan hari-hari pencennya.

Begitu pun jika serangan Hamid kepada Hamzah ini menandakan beliau telah mencampuri urusan politik, saya dengan ini mencabar beliau agar berkecimpung sepenuh masa dengan menyertai mana-mana parti yang disukainya selepas ini.

Kemudian, silalah tawarkan diri untuk bertanding dan jika rasa anak jantan sangat, lawanlah juga Hamzah di Larut dalam Pilihan Raya Umum ke-15 akan datang nanti.

Apa guna kalau sekadar berani bercakap di media saja, tetapi tidak berani memperjuangkan dakwaannya mengenai campur tangan Hamzah dalam pasukan polis sehingga ke titisan darah terakhir. – 1 Mei, 2021

* Norizan Ali, ketua Bersatu Bahagian Kepong, Wilayah Persekutuan KL.
 

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen