Ireland umum tarikh tarik sekatan, beri bonus individu lengkap vaksin


Rakyat Ireland bakal menikmati kehidupan normal selepas sekatan pengurungan ditarik balik mulai 10 Mei. – Gambar EPA, 30 April, 2021.

PERDANA Menteri Ireland Micheal Martin pada Khamis mengumumkan rancangan untuk menarik balik sekatan pengurungan mulai 10 Mei, termasuk faedah “bonus vaksin” bagi mereka yang sudah melengkapkan dua dos suntikan.

“Harapan kini kembali,” kata Martin. Ireland mempunyai lebih 248,000 kes dan 4,899 kematian akibat koronavirus.

Individu yang diberi vaksin lengkap dibenarkan berjumpa antara satu sama lain di dalam ruang tertutup, melibatkan maksimum sehingga tiga isi rumah. 

Mereka juga boleh bertemu dengan ahli keluarga satu isi rumah yang belum menerima suntikan vaksin di tempat tertutup, selagi mereka tidak berisiko tinggi, kata Martin.

Ireland akan membenarkan muzium dan galeri dibuka semula serta salon rambut.

Kumpulan kecil dibenarkan bertemu di luar rumah dan sehingga 50 orang boleh menghadiri upacara keagamaan, pengebumian dan perkahwinan.

Perkhidmatan runcit dan “klik dan ambil” di luar juga akan dimulakan semula, sementara perkhidmatan runcit tidak penting akan dibuka semula sepenuhnya pada 17 Mei.

Hotel dan penginapan rumah tamu lain akan dibuka mulai 2 Jun.

“Susulan kerja keras dan pengorbanan anda, kita berada di tempat yang lebih baik,” kata Martin, mengumumkan “kebebasan yang sangat penting dan sangat dialu-alukan”.

Ireland memberikan lebih 1.5 juta dos vaksin, meliputi hampir 30% daripada mereka yang berusia lebih 16 tahun.

Martin menegaskan Ireland berpegang kepada “pembukaan semula secara bertahap dan bertanggungjawab”. – AFP, 30 April, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen