Mampukah Parlimen berperanan semula?


MENTERI di Jabatan Perdana Menteri Takiyuddin Hassan dalam satu kenyataan media memberitahu bahawa kerajaan mempertimabngkan untuk membuka semula Parlimen sama ada sebelum atau selepas tamat Darurat pada 1 Ogos 2021.

Selain itu, kerajaan Perikatan Nasional (PN) turut menjelaskan sidang Parlimen tidak berlaku buat masa ini demi menjaga kesihatan ahli Parlimen dan kakitangan yang lain. 

Persoalan juga timbul apabila kenyataan media tersebut langsung tidak menyentuh komitmen kerajaan untuk menyegerakan perbincangan mengenai dasar ekonomi dan perancangan yang lebih rapi menangani pandemik sekiranya Parlimen dibuka semula.

Terlihat bahawa kerajaan PN tidak bersedia berunding dengan ahli Parlimen dalam isu rakyat dan bersikap dominan dalam membuat keputusan.

Begitu juga dengan keputusan melaksanakan darurat. Kerajaan PN melaksanakan darurat tanpa perbinacangan bersama dengan ahli Parlimen ketika sesi Belanjawan 2021.

Keputusan menggantung fungsi Parlimen telah meletakkan ketelusan kerajaan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dalam keadaan kritikal.

Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dan Jawatankuasa Pilihan Khas (JPK) tidak berfungsi untuk melakukan semak dan imbang terhadap tadbir urus kerajaan. 

Sejak kali terakhir Parlimen bersidang pada Disember 2020, kedudukan ekonomi rakyat bergerak secara perlahan.

Kadar pengangguran di Malaysia setakat Februari dilaporkan sekitar 4.8%.  Kadar pengangguran belia di Malaysia pada tahun 2020 adalah 12%, iaitu lebih tinggi daripada kadar pengangguran nasional.

Tinjauan Merdeka Center baru-baru ini menyatakan hampir 70% rakyat merasakan ekonomi masih tidak pulih sejak setahun yang lalu.

Ketika rakyat mengalami kesempitan hidup, perdana menteri menyatakan kerajaan sudah tidak cukup wang untuk membiayai bantuan rakyat. Sebanyak RM600 bilion telah dibelanjakan kerajaan PN untuk mengatasi Covid-19 dan merangsang ekonomi negara.

Soalnya, mengapa ekonomi masih tidak pulih sekiranya kerajaan Muhyiddin membelanjakan beratus bilion ringgit untuk merangsang ekonomi? Adakah pengurusan kewangan kerajaan PN benar-benar membantu rakyat? Ke mana wang itu pergi?

Kini, Ordinan Darurat memberi kuasa kepada perdana menteri, ketua menteri dan menteri besar meluluskan perbelanjaan tambahan dan dana Kumpulan Wang Disatukan sepanjang tempoh darurat.

Baru-baru ini, kerajaan PN mewartakan Ordinan Darurat (Kumpulan Wang Amanah Negara) (Pindaan) 2021 (KWAN) yang membolehkan kerajaan menggunakn dana KWAN sebanyak RM 5 bilion untuk perolehan vaksin dan RM14.5 bilion untuk perbelanjaan pembangunan.

Sekali lagi, ia memperlihatkan didominasi pihak eksekutif membuat keputusan dalam menentukan ekonomi Malaysia tanpa kerjasama pelbagai pihak, khususnya ahli Parlimen.

Limitasi ahli Parlimen untuk mengawal selia kewangan boleh menyebabkan berlaku ketirisan dan salah guna dana yang akhirnya memberi kesan kepada ekonomi negara.

Ahli ekonomi dan rakyat juga ingin tahu apakah perancangan kerajaan untuk menampung semula dana yang telah digunakan agar generasi akan datang berpeluang hidup dengan selesa?

Perbelanjaan tanpa perancangan untuk meningkatkan tahap ekonomi masa hadapan bukanlah satu tindakan yang tepat dalam menguruskan masalah negara pasca pandemik Covid-19.

Namun, fungsi Parlimen dibawah pentadbiran PN tidak dipandang penting.

Sejak sesi Parlimen dibuka lewat tahun lalu, pelbagai peraturan yang dikenakan untuk menghadkan partisipasi ahli parlimen menyuarakan pandangan mereka. Sidang Parlimen berlangsung  sehingga jam 2.00 petang dan hanya 80 orang ahli Parlimen dibenarkan di dalam Dewan sidang.

Berlaku pertukaran Yang di-Pertua Dewan Rakyat secara mengejut bagi menjamin kawalan eksekutif terhadap Parlimen. Masa perbahasan amat terhad dan pelbagai undang-undang yang mahu digubal kerajaan bagi menghadapi krisis Covid-19 dibuat secara terburu-buru.

Malah, sehingga hari ini, proses melakukan persidangan secara maya menggunakan teknologi masih belum dicapai Parlimen Malaysia.

Apakah kerajaan PN boleh memberi jaminan bahawa pembukaan sidang Parlimen selepas tamatnya darurat akan memberi ruang kepada ahli Parlimen seluas-luasnya dalam proses semak dan imbang dasar kerajaan?

Mampukah Parlimen berperanan semula dalam mengembalikan maruah dan kehidupan rakyat yang lebih baik berbanding sekarang?

Ramai yang mengharapkan institusi Parlimen dapat berfungsi dengan baik selepas perubahan kerajaan 9 Mei 2018. Tetapi, hasrat ini tidak kesampaian selepas kerajaan PN hari ini tidak mempunyai kesanggupan politik untuk menjadikan Parlimen sebagai institusi yang berperanan dalam membina semula asas yang baik buat Malaysia pasca pandemik.

Dominasi eksekutif dalam proses Parlimen kini semakin serius sehingga melenyapkan fungsi parlimen yang sebenar.

Hakikatnya, tidak ada pihak yang menghalang kerajaan untuk melakukan sekatan dan peraturan yang penting bagi mengekang penularan pandemik, termasuklah memberi laluan kepada kerajaan membuat keputusan pantas bagi membantu rakyat.

Namun, kerajaan PN telah mendominasi terlalu banyak proses membuat dasar ekonomi dan menghadkan peranan parlimen pada tahap yang kritikal. 

Covid-19 telah mendedahkan kelemahan sistem demokrasi berparlimen di Malaysia sehingga ia tidak dipandang sebagai rakan strategik badan eksekutif dalam mengenadilkan krisis kesihatan.

Sekiranya kelemahan ini tidak dibaiki dengan segera, ia boleh mewujudkan sebuah jemaah menteri diluar batasan demokrasi dalam mengendalikan tadbir urus negara.

Apa yang lebih membimbangkan sekiranya situasi politik hari ini menyebabkan rakyat tidak yakin akan sistem demokrasi negara dan berpandangam mereka tidak memerlukan Parlimen untuk mentadbir negara.

Tiba masa kerajaan kembali ke Parlimen dan membina semula institusi ini agar ia benar-benar berkesan untuk mengubah kehidupan rakyat ke arah yang lebih baik berbanding menekan parlimen sehingga ia boleh menjejaskan prinsip asas demokrasi negara dalam tempoh jangka masa yang panjang. 

Suka atau tidak, Parlimen merupakan jantung kepada demokrasi negara dan ia adalah perkhidmatan penting untuk memastikan nasib setiap rakyat terbela dan kepentingan negara dipertahankan. – 29 April, 2021.

* Fakhrurrazi Rashid, koordinator penyelidik Research For Social Advancement (REFSA).

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen