PKR terima keputusan Pakatan, kata Anwar


Chan Kok Leong Asila Jalil

Saya menggesa rakan-rakan untuk menumpukan kepada prinsip perjuangan yang diasaskan dua dekad lalu, kata Anwar Ibrahim. Teks ucapannya dibacakan oleh Nurul Izzah Anwar hari ini pada Konvensyen Pakatan Harapan di Shah Alam. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 7 Januari, 2018.

PKR akan menerima keputusan dibuat Majlis Presiden Pakatan Harapan, kata Ketua Umum PKR, Anwar Ibrahim.

“Saya sekadar menggesa, agar rakan-rakan tertumpu kepada soal dasar dan prinsip perjuangan yg diasaskan selama dua dekad lalu,” kata penasihat Pakatan Harapan itu.

“Inilah permasalahan pokok yang perlu ditelusuri dan dijelaskan kepada rakyat. Dengan mengakui semangat kerjasama, kita menerima keputusan pimpinan,” kata Anwar pada Konvensyen Kedua Pakatan Harapan di Shah Alam hari ini.

Memandangkan Anwar masih dipenjarakan, ucapannya dibacakan oleh Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar selepas ucapan empat Naib Presiden PH, Muhyiddin Yassin, Mohamad Sabu, Lim Guang Eng dan Azmin Ali.

“PH berjaya menangkis suara negatif milik media Umno-BN. Yang mengandaikan proses rundingan akan gagal. Mereka seperti juga sebahagian daripada kita yang kurang arif,” kata Anwar.

Anwar berkata persetujuan itu bagaimanapun bukan bermakna mereka akan menghentikan desakan perubahan sistem dalam negara ini.

“Marilah mengorak langkah dengan yakin menolak kezaliman dan rasuah dan mempertahankan sebarang keterlanjuran. Saya yakin PRU14 akan mencatat era baru negara Malaysia tercinta.”

Nurul Izzah membacakan ucapan ayahnya sebelum pengumuman dilakukan yang menamakan Pengerusi PH, Dr Mahathir Mohamad sebagai calon perdana menteri pembangkang. – 7 Januari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen