Kenapa ambil dana KWAN untuk beli vaksin, soal pakar ekonomi


Ragananthini Vethasalam

Menteri kewangan berkata kerajaan akan mengambil RM5 bilion daripada KWAN bagi perbelanjaan imunisasi dan pemerolehan vaksin Covid-19. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 April, 2021.

PUTRAJAYA sepatutnya menggunakan cara lain untuk membiayai pemerolah vaksin Covid-19, kata pakar ekonomi, yang mengecam tindakan kerajaan mengambil dana Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN).

Mereka berkata dana itu yang menyimpan wang negara hasil daripada sumber alam, untuk masa depan generasi akan datang, sebagai persediaan di mana sumber semula jadi bakal berkurangan pada waktu itu.

Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz pada Isnin berkata kerajaan akan mengambil RM5 bilion daripada KWAN bagi perbelanjaan imunisasi.

Beliau berkata peruntukan RM3 bilion untuk pemerolehan vaksin seperti diumumkan ketika pembentangan Belanjawan 2021 bukan sebahagian daripada bajet itu, dan memang diambil daripada dana berkenaan.

Katanya, defisit belanjawan kerajaan akan meningkat kepada 6.2% daripada KDNK jika ia tidak mengambil dana KWAN.

Pakar ekonomi Dr Nungsari Radhi berkata alasan ruang fiskal terhad dan beban hutang negara melebih RM1 trilion yang diberikan menteri kewangan bukan alasan yang cukup untuk mengambil wang daripada KWAN.

“Bukannya ambil dana KWAN dapat menyelesaikan masalah hutang,” kata bekas pengerusi Institut Penyelidikan Khazanah itu berkata kepada The Malaysian Insight.

“Tengku Zafrul buat dalam belanjawan buat peruntukan khusus untuk Covid-19 menerusi Belanjawan 2021 sebanyak RM17 bilion. Dan itu tidak termasuk vaksin? Seluruh peruntukan itu sudah habis?

“Dana KWAN adalah untuk generasi masa depan yang akan hidup tanpa minyak dan gas,” katanya.

Dr Nungsari berkata jumlah dalam dana itu pun bukannya besar, oleh itu ia sepatutnya tidak diusik.

“Dalam 100 tahun mungkin (boleh ambil dana itu) tetapi bukan sekarang. Dan ia bukannya banyak, biarlah jangan ambil,” katanya.

KWAN, ditadbir oleh Akta Kumpulan Wang Amanah Negara 1988, diuruskan oleh Bank Negara Malaysia.

Ia ditubuhkan pada 1988 untuk memelihara kekayaan negara daripada petroleum dan sumber asli yang lain untuk generasi masa depan, di mana ia termasuk sumbangan daripada Petronas.

Setakat 31 Disember, 2020 baki dana itu ialah RM19.5 bilion. – 29 April, 2021.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen