Adakah ahli Parlimen lebih bernilai daripada kanak-kanak?


MERUJUK kepada kenyataan Takiyuddin Hassan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) yang menyatakan Parlimen hanya akan bersidang selepas tamatnya darurat, parti Muda ingin mempersoalkan adakah alasan penularan Covid-19 boleh digunakan sebagai alasan? 

“Keutamaan yang diberikan pada masa ini adalah usaha memastikan penularan wabak ini dapat dikawal sepenuhnya termasuklah melindungi aspek kesihatan ahli-ahli Parlimen, pegawai-pegawai dan semua pihak yang berurusan dengan Parlimen.”

Petikan di atas diambil dari kenyataan Takiyuddin dan ini menimbulkan beberapa persoalan, pertamanya adakah kerajaan Perikatan Nasional berpandangan bahawa tahap kesihatan ahli-ahli parlimen jauh lebih bernilai dari kanak-kanak di sekolah rendah? 

Kerana mengikut dasar kerajaan hari ini sekolah telah pun dibuka dan apabila ditanya mengenai isu risiko penularan wabak, rakan sejawat Takiyuddin, Rina Harun, kerajaan ada perancangan bagi menangani perkara ini. 

Maka timbul pula persoalan kedua, mengapa kerajaan rela mempertaruhkan kesihatan pelajar-pelajar sekolah dan yakin dengan perancangan bagi menguruskan jutaan pelajar tetapi tidak mampu untuk menguruskan perjalanan Parlimen yang hanya melibatkan sebilangan kecil ahli Parlimen dan pegawai-pegawai mereka? 

Bukankah sebahagian besar dari ahli-ahli Parlimen telah pun menerima suntikan vaksin, kalau dibandingkan dengan jutaan pelajar sekolah, guru-guru, staf am dan ibu bapa pelajar berkenaan, risiko penularan di Parlimen adalah jauh lebih rendah. 

Parti Muda bukan meminta untuk semua sekolah ditutup, tetapi nampak seolah-olah kerajaan Perikatan Nasional ini mementingkan kesihatan dan kesejahteraan ahli-ahli Parlimen jauh lebih tinggi dari pelajar-pelajar sekolah. 

Penutupan Parlimen yang memberikan kuasa kepada kerajaan untuk mentadbir tanpa sebarang semak dan imbang berpandukan alasan yang diberikan bukan sahaja menidakkan hak demokrasi rakyat tetapi dilihat tidak masuk akal. – 26 April, 2021.

* Zaidel Baharuddin merupakan Ketua Penerangan Parti Muda.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen