Kurang 5% pekerja sendiri carum Perkeso


Ragananthini Vethasalam

Dalam sektor pekerjaan sendiri, penyumbang terbesar adalah daripada pekerja penghantar makanan dan barangan dengan meliputi jumlah 49,738 penyumbang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 April, 2021.

HANYA kurang 5% pekerja bekerja sendiri dilindungi Caruman Keselamatan Sosial (Perkeso), sekali gus menunjukkan bahawa tahap kesedaran berhubung keselamatan sosial masih rendah.

Keperluan untuk perlindungan sosial bagi sektor tidak formal sering kali dibangkitkan pakar dan menerusi laporan sejak sekian lama.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Perkeso Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed kepada The Malaysian Insight, jumlah penyumbang caruman Perkeso daripada sektor ini menerusi Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) adalah seramai 134,600 orang.

Jumlah ini menunjukkan peningkatan berbanding tahun lepas apabila 78,834 penyumbang mengambil skim itu selepas pelbagai insiatif dilaksanakan kerajaan.

“Ini menunjukkan peningkatan 183% daripada jumlah 47,510 orang bagi tempoh yang sama pada 2020,” kata Azman.

“Ini juga menunjukkan pekerja sendiri sedar tentang skim itu, tambahan lagi ada beberapa lagi insiatif kerajaan untuk pekerja sendiri seperti SPS PenjanaGig, SPS Lindung dan SPS Prihatin Wanita.”

Bagaimanapun, di sebalik peningkatakan itu, jumlah tersebut masih rendah kerana ia meliputi 4.9% daripada 2.72 juta pekerja sendiri, kata Azman memetik statistik Jabatan Perangkaan.

Dalam sektor pekerjaan sendiri, penyumbang terbesar adalah daripada pekerja penghantar makanan dan barangan dengan meliputi jumlah 49,738 penyumbang.

Sektor ini juga merupakan penyumbang tertinggi kepada Perkeso.

Berdasarkan jumlah keseluruhan pekerja bekerja sendiri, Azman berkata masih terdapat 95% yang tidak dilindungi Perkeso.

“Tahap kesedaran tentang keselamatan sosial masih lagi rendah,” katanya.

Kata Azman ini mungkin berpunca daripada beberapa faktor seperti kegagalan kempen awam bagi mencapai kumpulan sasaran dan sikap pekerja yang merasakan ketidakperluan perlindungan sosial.

Di bawah skim SKSPS, sebanyak 20 jenis pekerja sektor tidak formal boleh menyumbang kepada Perkeso.

Ini termasuk mereka yang bekerja dalam perkhidmatan pengangkutan, perikanan, premis perkhidmatan penginapan, profesional, teknikal dan saintifik, penghantaran makanan dan barangan, pertanian, pengeluaran ternakan, perhutanan, jualan dan penyediaan makanan, perkilangan produk, pembinaan, peniaga gerai dan perdagangan.

Malah skim ini turut meliputi perniagaan dalam talian selain teknologi maklumat, pengumpulan dan pemprosesan data, perkhidmatan ejen, perkhidmatan sokongan swasta, persembahan, kegiatan filem, karya seni dan grafik, perkhidmatan penjagaan, rawatan dan pemulihan kesihatan, mental, fizikal atau Sosial dan perkhidmatan rumah tangga.

Penyumbang di bawah skim ini boleh bermula daripada RM13.10 sebulan atau RM157.20, bergantung kepada jumlah pendapatan.

Sementara itu, Ketua Jabatan Perangkaan Malaysia Dr Mohd Uzir Mahidin berkata seramai 1.27 juta orang bekerja sendiri dalam sektor tidak formal pada 2019.

Katanya jumlah ini mewakili 8.3% angka keseluruhan tenaga kerja di negara ini.

“Pekerja dalam sektor ini kebiasaannya tidak dilindungi insurans perlindungan sosial.

“Berdasarkan Tinjauan Pendapatan Isi Rumah dan Kemudahan Asas, sumbangan daripada pekerja sendiri ini meningkat sebanyak 15.3% daripada 2016 hingga 2019,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Uzir juga membangkitkan isu pekerja sektor tidak formal daripada kumpulan B40 yang tidak dlindungi keselamatan sosial.

Katanya hanya 0.2% daripada 527,000 pekerja sendiri sektor tidak formal dari B40 yang menyumbang kepada KWSP dan Perkeso.

“Daripada tinjauan pada 2019, seramai 9.7 pekerja daripada golongan B40. Hanya 13.5% daripada mereka yang mencarum KWSP dan Perkeso,” katanya. – 26 April, 2021.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen