Lelaki didakwa pukul pengawal peribadi bukan dalam tahanan polis


POLIS menyeru orang ramai agar tidak memanipulasi isu seorang lelaki yang dibawa ke Mahkamah Jalan Duta tanpa bergari dan tidak berpakaian lokap bagi menghadapi pertuduhan kes mencederakan dua pengawal peribadinya, Jumaat lepas.

Sebelum itu lelaki berkenaan pada Khamis lepas didakwa di Mahkamah Majistret Klang atas beberapa pertuduhan antaranya memukul dan mengugut mangsa sama.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Mohamad Zainal Abdullah menjelaskan bahawa lelaki itu bukan dalam tahanan polis ketika dibawa ke Mahkamah Jalan Duta dan dia juga telah diberi jaminan polis sebelum diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan.

“Atas sebab berkenaan maka pihak polis tidak boleh menahan semula dan menggari suspek atas kesalahan yang sama semata-mata untuk dibawa ke Mahkamah Kuala Lumpur.

“Oleh itu, tidak timbul isu suspek mendapat layanan istimewa kerana undang-undang telah menetapkan sedemikian bahawa tiada siapa yang boleh ditangkap atas kesalahan yang sama sepertimana yang termaktub di bawah Artikel 7(2) Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, berhubung isu lelaki berkenaan dilihat dibawa ke mahkamah tanpa memakai baju lokap, Mohamad Zainal berkata pihak polis mematuhi prosedur ditetapkan dalam Perintah Tetap Ketua Polis Negara A118, iaitu apabila banduan dibawa ke mahkamah, dia hendaklah memakai pakaian yang dipakai semasa dia ditangkap, melainkan pakaian berkenaan dijadikan barang kes.

 “Polis turut menggesa orang ramai agar tidak memanipulasi isu ini sehingga boleh menyebabkan salah faham, menimbulkan kekeliruan dan menggambarkan keadaan yang tidak tepat sehingga boleh menjejaskan reputasi dan imej polis di mata masyarakat,” katanya.

Semalam, tular satu artikel yang memaparkan gambar lelaki itu yang merupakan majikan kepada dua pengawal peribadi terbabit, diiring ke mahkamah tanpa bergari. – Bernama, 25 April, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen