Artis bersuara demi cinta kepada tanah air, kata Aishah


Mohd Farhan Darwis Radzi Razak

Penyanyi Aishah berkata beliau bersyukur terdapat sekumpulan artis yang berani menyuarakan pendapat mereka secara terbuka terutamanya membabitkan soal kos kehidupan yang semakin meningkat. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 7 Januari, 2018.

ARTIS berhak menyuarakan pendapat mereka tentang isu semasa kerana suara mereka itu diluahkan atas rasa cinta kepada negara, kata penyanyi Wan Aishah Wan Ariffin.

Menurut Aishah, artis berhak menyuarakan pendapat mereka terhadap situasi semasa kerana golongan itu bersuara atas rasa kecintaan terhadap negara.

Juara rancangan hiburan Gegar Vaganza itu berkata, beliau bersyukur terdapat sekumpulan artis yang berani menyuarakan pendapat mereka secara terbuka terutamanya membabitkan soal kos kehidupan yang semakin meningkat.

Saya bersyukur bila ada artis berani bersuara…itu maknanya artis ada sel-sel yang berhubung, kita sepatutnya hormati pendapatnya…dia tanya pasal kos kehidupan sahaja,” katanya ketika berucap di Pentas Rakyat ketika Konvensyen Pakatan Harapan (PH) di Shah Alam hari ini.

Mewakili golongan artis, penyanyi yang popular dengan lagu “Pulanglah” itu turut mengingatkan PH agar tidak hanya menggunakan khidmat artis untuk membantu mereka ketika tempoh berkempen dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU 14) semata-mata.

Aishah yang merupakan ahli Amanah berkata, golongan artis seharusnya terus diberikan perhatian oleh PH sekiranya mereka berjaya membentuk kerajaan selepas PRU14.

“Janganlah hanya masa kempen sahaja ajak artis, bila sudah memerintah ada bajet, lupakan kami.

“Kami bersuara bukan kami benci tapi kami sayangkan tanah air, kami ingin lihat semua rakyat di Malaysia menikmati hasil di bumi bertuah ini, jangan lupa para artis bila sudah memerintah,” katanya di hadapan perwakilan PH yang berhimpun di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), di Shah Alam. 

Aishah berucap di Pentas Rakyat di Konvensyen Pakatan Harapan (PH) diadakan di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), di Shah Alam. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 7 Januari, 2018.

Selain itu, Aishah turut berkata keberaniannya juga membolehkan beliau bertahan dalam dunia hiburan selama 30 tahun walaupun tidak bersama kerajaan.

“Saya tak berani nak kata wakili golongan artis…tapi saya wakili diri saya yang menjadi artis selama 30 tahun, dah lama artis ini tidak muncul di kaca TV hanya kerana berani,” katanya.

Penyanyi Shiela Majid dan pelakon Fathia Latiff sebelum ini diselar kerana mengkritik peningkatan kos sara hidup dan tadbir urus kerajaan.

Shiela melalui akaun media sosialnya menggesa kerajaan membetulkan kembali hala tuju negara ke landasan yang betul.

Selain Aishah, turut berucap di pentas rakyat adalah wakil Naib Ketua Pemuda PH Arul Kumar; Pengarah Pilihan Raya Wanita PH Haniza Talha mewakili golongan wanita; dan Kapten (B) Zainal Abidin Naus yang mewakili bekas anggota tentera.

Zainal Abidin dalam ucapannya turut menggesa agar PH mengkaji semula perjanjian perdagangan dengan China sekiranya mereka memerintah negara.

“Sebelum komunis meletak senjata pada 90-an, tentera dan polis dikerah ke hutan. Hari ini dijemput pula berniaga secara terbuka di negara kita.

“Kami rasa sangat terhina dengan apa yang dilakukan kerajaan Barisan Nasional ketika ini. Jika PH dapat tubuhkan kerajaan, kami veteran berharap perjanjian yang dibuat sekiranya boleh dibatalkan perjanjian tersebut,” katanya.

Selain itu, turut berucap di pentas rakyat adalah bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Abdul Rashid Abdul Rahman mewakili golongan bekas penjawat awam; Abdul Rahman Ramli mewakili peneroka Felda; dan Mohd Rosdi Yahaya mewakili golongan petani.

Konvensyen PH hari ini juga dijangka akan mengumumkan calon perdana menteri mereka sekiranya PH memenangi pilihan raya umum akan datang. – 7 Januari, 2018.

Turut berucap di pentas rakyat adalah bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Abdul Rashid Abdul Rahman mewakili golongan bekas penjawat awam. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 7 Januari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • pembangkang cuba menumpang populariti artis tempatan untuk mendapatkan sokongan rakyat..ini menunjukkan yang pembangkang tidak mempunyai keyakinan untuk menghadapi PRU!4 sehinggakan terpaksa menabur janji2 kepada artis untuk dapatkan sokongan

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Amera amani · Ulasan