Mansuhkan J-Kom, salurkan peruntukan untuk lawan Covid-19


KEMEROSOTAN mendadak Malaysia dalam Indeks Kebebasan Media Dunia 2021 oleh badan antarabangsa Reporters Sans Frontieres (RSF) amat mengecewakan. Kedudukan Malaysia yang jatuh sebanyak 18 anak tangga menjadikan negara kita negara yang merosot paling teruk sekali. 

Antara faktor yang dinyatakan oleh RSF berkaitan kemerosotan kedudukan Malaysia ialah penubuhan semula jabatan propaganda kerajaan JASA yang kini dijenamakan sebagai J-KOM. 

Jabatan ini telah diberikan peruntukan sebanyak RM85.5 juta dalam Belanjawan 2021, namun kemudiannya telah dikurangkan kepada RM40.5 juta setelah mendapat tentangan hebat Ahli Parlimen pembangkang serta rakyat Malaysia.

Antara kritikan terhadap J-KOM ialah jabatan tersebut menjadi senjata politik mensasarkan wakil rakyat pembangkang dan pihak yang tidak sehaluan dengan kerajaan. 

Negara kita tidak memerlukan jabatan sedemikian. Sebaliknya, kita perlu mengembleng tenaga dan sumber melawan Covid-19 serta membantu rakyat yang berdepan cabaran ekonomi, bukan menyerang musuh politik PN. 

J-KOM gagal berfungsi melawan Covid-19

J-KOM yang dimurnikan sebagai unit penerangan kerajaan setakat ini tidak mampu berfungsi dengan cekap untuk menyampaikan maklumat dan menyebarkan kesedaran tentang Covid-19.

Contohnya, ketika semua pihak termasuk parti-parti dan wakil rakyat pembangkang turun padang mempromosi serta mendaftarkan peserta untuk Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), apakah sumbangan J-KOM dalam aspek ini?

Jika ada sekalipun, ternyata J-KOM gagal. Menurut laporan kerajaan sendiri, kadar pendaftaran PICK adalah amat perlahan dan amat rendah. Setakat 23 April 2021, iaitu dua bulan selepas pendaftaran PICK bermula, hanya 9.2 juta daripada 26.7 juta penduduk Malaysia yang disasarkan telah berdaftar. Ini bersamaan dengan hanya 38% sasaran KKM. 

Kerajaan sendiri mensasarkan 70-80% penduduk Malaysia untuk divaksin bagi mencapai keberkesanan PICK. 

J-KOM juga gagal menyebarkan kesedaran tentang SOP Covid-19 sehingga menyebabkan pihak polis terpaksa menggunakan kaedah hukuman sehingga RM10,000 waima ke atas institusi seperti sekolah dan masjid. 

Saya telah berulang kali menekankan bahawa SOP Covid-19 perlu dikuatkuasakan melalui kesedaran dan pendidikan dan bukan hanya menggunakan pendekatan hukuman. 

Malangnya kegagalan kerajaan dalam aspek penerangan, SOP yang sentiasa berubah-ubah, tidak jelas, serta mengelirukan dan pelaksanaan SOP secara antara dua darjat, menyebabkan kegagalan mematuhi SOP dan peningkatan kes Covid-19.

Justeru, kerajaan PN patut memansuhkan J-KOM dan menyalurkan peruntukan besar jabatan tersebut berjumlah RM40.5 juta kepada usaha melawan Covid-19. 

Lebih-lebih lagi apabila Perdana Menteri sendiri mengaku bahawa “kerajaan sudah tak ada banyak wang” sehingga terpaksa mengorek tabung simpanan kecemasan negara dan ramai pakar berpendapat negara kita bakal menghadapi gelombang ke-4 Covid-19. – 24 April, 2021.

* Steven Sim Chee Keong, Ahli Parlimen Bukit Mertajam*

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen