#KerajaanGagal?


MENUDUH #KerajaanGagal memang senang. Terutama oleh orang yang tidak memegang kuasa dan tidak perlu menjawab kepada sesiapa.

Hakikatnya parti pembangkang di Malaysia khususnya Lim Kit Siang dan DAP sudah pun mainkan naratif #KerajaanGagal dalam versi #FailedState mereka berpuluh-puluh tahun sebelum tanda pagar baru ini menular seminggu dua ini. Apa ada hal? Lagu lama memang sentiasa boleh diremix semula.

Bagi yang tak faham, tulisan di bawah ialah sebuah satira.

Bagi menjentik amarah/sakit hati khususnya golongan muda sebab belum ada tanda boleh rentas negeri untuk balik beraya, maka mudahlah lepas geram tuduh #KerajaanGagal.

Sumbatkan saja segala isu dan kes yang senang tular; seperti layanan dua darjat VIP/rakyat biasa dalam penguatkuasaan SOP, kenaikan harga barang keperluan, Kabinet terlampau ramai tapi “ghaib”, darurat yang bukan darurat, segelintir rakyat boleh langgar larangan merokok/langgar SOP sesuka hati, jumlah pengangguran meningkat dan pelaburan asing merosot, dan program vaksinasi lembap – boom!

Selesai: #KerajaanGagal.

Peduli apa sekalipun kerajaan yang #kononnyagagal ini memperuntukkan belanjawan paling besar dalam sejarah negara untuk memerangi Covid19 sambil memulihkan ekonomi negara. Beri i-Sinar dan i-Lestari kami rembat! Tambah Penjana, Pemerkasa, BSAH dan lain-lain, kami sapu! Kamu tetap #KerajaanGagal.

Kami mahu boleh balik Raya dan rentas negeri dan singgah sana-sini – jadi apa kalau Covid19 masuk gelombang keempat bahkan gelombang ke-10 sekalipun – itu tanggungjawab kamu bukan kami.

Persetan saja kerajaan yang #kononnyagagal ini masih tega dan tegas tidak melepaskan kleptokrat kluster mahkamah. Memang pun tanggungjawab kamu membayar hutang negara dan beban kecurian peninggalan Bossku. Mahu pegang kuasa, mahu jadi PM, telan sajalah! Kami tidak mahu dengar masalah kamu, kami mahu dengar penyelesaian untuk masalah kami!

Lantaklah sekalipun kalau hasil negara makin berkurang, tabungan negara makin susut, rating negara boleh terjejas. Inikan zaman krisis, era pandemik – kerajaan mesti habis-habisan bersusah untuk rakyat. Kalau tidak, kamu #KerajaanGagal. Jangan harap kami nak sokong!

Kami tak kisah pun sama ada kalau AI atau ZH atau Bossku (semuanya bukan nama sebenar) jadi PM, siapa yang boleh benarkan kami balik beraya (walaupun akan merisikokan mak ayah datuk nenek kami di kampung lebih terdedah kepada Covid19), dialah lebih layak jadi PM daripada kamu!

Kalau S***q Sigaraga (bukan nama sebenar) sekalipun yang jadi PM (dan sambil itu beliau lebih sibuk mengambil cuti belajar ke Singapura atau membotakkan kepalanya untuk memungut derma berbanding menangani isu Covid-19), kami okey saja selagi mana dia benarkan kami rentas negeri dan balik beraya!

Kami tak ambil kira pun Covid-19 ini sudah menjadi hakikat kehidupan seluruh dunia dan hampir semua kerajaan di dunia boleh dikira #KerajaanGagal sebab beribu rakyatnya meninggal dunia sejak setahun yang lepas.

Yang penting sekarang ini di Malaysia #KerajaanGagal sebab tidak membuat persidangan Parlimen (walaupun kami tahu banyak sesi sidang Parlimen mutakhir ini hanya menjadi medan pertarungan politikus rakus dan tidak membincang pembelaan nasib rakyat pun).

Kami anjingkan saja program vaksinasi #KerajaanGagal ini selagi kami sendiri belum dapat vaksin. Memang kewajipan kerajaan untuk bantu kami, beri kami vaksin percuma walau berapa pun kosnya. #JagaDiri = #JagaSemua, kan? Bila kami sudah dapat vaksin nanti, baru kami diam. Tapi pastikan Pfizer saja, kami tak mahu Sinovac atau Sinofarm.

#KerajaanGagal? Memang. Ini lagu lama remix baru. Kami akan terus mainkannya sampailah kerajaan bertukar.

Peringatan: Sekiranya dan selepas kerajaan bertukar, lagu ini akan diremix ke versi lain dan dimainkan oleh pembangkang yang seterusnya. Harap maklum. – 24 April, 2021.

* Ibnu Hussain ialah pembaca Malaysia Insight.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen