Seorang Fahmi Reza


SEORANG Fahmi Reza semalam ditahan dan mungkin akan didakwa dengan akta sakit hati.

Seorang Fahmi Reza membuktikan kepada kita keutamaan negara dan pentadbiran kerajaan ini tatkala rakyat kini sedang dihimpit dengan pelbagai krisis akibat dari pandemik Covid-19.

Walaupun beberapa hari ini, pelbagai isu semasa timbul di dada massa negara kita, namun Fahmi Reza jualah keutamaan kerajaan ini sehinggakan perlu tujuh anggota polis hadir menahan seorang Fahmi Reza yang senjatanya hanyalah himpunan karikatur dan sebuah “playlist” Spotify.

Fahmi Reza mengungguli carta keutamaan negara kita yang kini kehilangan menteri kanan pendidikan. Keresahan ibu bapa mengenai penularan wabak Covid-19 di sekolah sehingga beberapa sekolah pun ditutup dan ada dalam kalangan guru dan pelajar dikuarantin seakan-akan tidak perlu dipertimbangkan.

Kementerian Pendidikan walaupun sudah setahun menghadapi masalah ini, masih kelihatan dungu untuk memberikan penyelesaian.

Senarai nama guru untuk menerima vaksin juga masih lagi tidak dikeluarkan. Paling misteri, kehilangan menterinya dan timbalan menteri.

Namun, seorang Fahmi Reza mengatasi keutamaan untuk menyelesaikan masalah ini. Kerajaan perlu menahan Fahmi Reza dan mungkin penahanan ini dapat memberikan klu lokasi persembunyian menteri dan timbalannya.

Kehilangan menteri ini juga memberikan kesan kepada beberapa perkara lagi terutamanya hal berkaitan dengan hala tuju pelajar lepasan SPM 2020 yang kini masih samar-samar mengenai bilakah mereka akan menerima keputusan peperiksaan mereka dan bagaimana hala tuju mereka selepas itu.

Aktivis pelajar, Nurul Rifayah mengeluarkan kenyataan berhubung perkara ini dan beberapa lagi perkara yang berkait rapat dengan Kementerian Pendidikan, antaranya juga mengenai pembelajaran digital dan dongeng 150,000 komputer.

Namun hal ini tidak dapat diperjelaskan kerana menteri dan timbalan menteri telah ghaib, walaupun ada khabar mengenai majlis berbuka anjuran menteri, namun begitulah. Fahmi Reza juga yang perlu kerajaan ini selesaikan dahulu.

Seorang Fahmi Reza juga berjaya membuat kerajaan terutamanya Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat alpa mengenai isu pencabulan terhadap pelajar perempuan di sekolah ketika mereka datang haid.

Kepentingan menahan Fahmi Reza adalah terpaling utama dari menyiasat dan menghukum pesalah yang terdiri daripada guru yang mencabul pelajar ini kerana mereka merasakan adalah hak mereka untuk mengesahkan proses menstruasi bulanan pelajar mereka.

Seorang Fahmi Reza juga menyebabkan kerajaan menutup telinga mengenai keluh resah rakyat berkaitan dengan peningkatan harga barangan di pasaran pada waktu ini. Berbaki dua minggu sebelum menjelangnya Aidilfitri, masih tiada bayangan harga barangan akan terkawal dan mampu dibeli oleh sebahagian rakyat yang kini tidak syak lagi mempunyai masalah pendapatan dan kewangan.

Mungkin dengan penahanan Fahmi Reza ini, harga sekilo ayam akan turun dengan drastik pada hari esok.

Begitulah aura seorang Fahmi Reza, sehingga kerajaan yang kita tidak pilih ini lupa akan kepentingan apa yang perlu didahulukan. Fahmi Reza kini lebih bahaya daripada ancaman Covid-19 dan beliau perlu “dibendung” sesegera yang mungkin agar rakyat Malaysia dapat menikmati kehidupan yang sentosa.

Solidariti untuk Fahmi Reza yang berjuang melawan kebobrokan sistem negara dan kerajaan melalui seni lukisan dan seni abstrak. Kita semua perlu jadi Fahmi Reza agar kerajaan memberikan perhatian kepada keperluan kita.

Kita semua mesti jadi seorang Fahmi Reza agar mimpi ngeri ini berakhir. – 24 April, 2021.

* Noor Suhana Ishak ialah pembaca The Malaysian Insight.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen