Menyelami kemelut naskah asal 7 Wasiat Raja-Raja Melayu


PADA tahun 2009, tiga buku karangan Allahyarham Prof Syed Hussein Alatas yang diterjemahkan ke Bahasa Melayu iaitu Mitos Pribumi Malas (The Myth of the Lazy Native), Intelektual Masyarakat Membangun (Intellectuals in Developing Societies), dan Rasuah: Sifat, Sebab dan Fungsi (Corruption: Its Nature, Causes and Functions) dilancarkan dalam satu upacara di Dewan Bahasa Pustaka oleh Raja Muda Perak (ketika itu) Raja Dr Nazrin Shah. Dalam ucapan Baginda, pertama kali 7 Wasiat Raja-Raja Melayu diperkenalkan pada khalayak umum.

Pada masa itu, penulis terkejut dan amat teruja kerana sebagai pelajar undang-undang Perlembagaan, kami membaca perenggan 169 Laporan Suruhanjaya Reid 1957 yang menyatakan bahawa Raja-Raja Melayu dalam tahun 1957 tidak mahu memasukkan peruntukan yang mengisytiharkan Islam sebagai agama persekutuan di dalam Perlembagaan dan ia bercanggah dengan salah satu perkara dalam “Wasiat” tersebut.

Kemudian penulis terus menelaah kembali buku-buku undang-undang Perlembagaan Malaysia yang ditulis oleh pakar-pakar sebenar undang-undang Perlembagaan seperti Kevin Tan, Thio Li An, Aziz Bari , akan tetapi tidak jumpa pun sebarang sumber rujukan berkenaan dengan “Wasiat” tersebut.

Penulis berfikir mungkinkah “Wasiat” tersebut amat istimewa seperti “Ciri” Sultan Perak di mana tidak ramai yang mengetahuinya? Akan tetapi baginda Raja Muda Perak secara jelas menyatakan di dalam ucapan baginda bahawa “Wasiat” tersebut telah “disampaikan semasa Raja-Raja Melayu menurunkan tandatangan persetujuan pembentukan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu pada 5 Ogos 1957”.

Maka semestinya jika sesiapa pun membuat carian yang lebih lanjut berhubung dengan peristiwa tersebut, sudah tentu boleh ditemui naskah asal atau rakaman asal “Wasiat” tersebut.

Yang mendapat publisiti besar-besaran selepas daripada upacara di Dewan Bahasa dan Pustaka pada 6 Ogos 2009 tersebut bukanlah buku-buku tulisan Allahyarham Prof Syed Hussein Alattas yang rata-rata mengupas budaya dan bahaya kolonialisme, feudalisme, bebalisme dan salah guna kuasa di dalam masyarakat negara ini. Sebaliknya, 7 Wasiat Raja-Raja Melayu tersebut yang telah seakan-akan “meletup” di media.

Pelbagai institusi, universiti dan media telah mencanangkan 7 Wasiat Raja-Raja Melayu tersebut ke seluruh pelusuk negara. Ia telah dicetak dan disebarkan. Ia juga telah dicetak dan dipamerkan di seluruh pelusuk kampus universiti dan kampus cawangan. Ia juga dibingkaikan dan diberikan sebagai cenderamata kepada pihak Istana Negara.

Akan tetapi langsung tiada terdapat sebarang kupasan ilmiah mengenai kewujudannya, isi kandungannya dan kepentingannya.

Rata-rata menganggap ia wujud, malah ada yang menganggap tarafnya lebih tinggi daripada Perlembagaan Persekutuan.

Maka semangat untuk mencari naskah asal atau rakaman asal berhubung dengan “Wasiat” tersebut berkobar-kobar. Maka jenuhlah membaca kesemua dokumen-dokumen sejarah dan artikel-artikel dalam pelbagai jurnal akademik berhubung dengan sejarah Perlembagaan negara beserta dengan Raja-Raja Melayu. Akan tetapi, masih tiada jawapan, tiada sebarang pun sumber-sumber ilmiah tersebut melaporkan mengenai 7 Wasiat Raja-Raja Melayu. 

Maka penulis pun berkunjung ke Arkib Negara di Jalan Duta (sekarang dikenali sebagai Jalan Tuanku Abdul Halim) dan telah “ berkampung” di sana selama dua hari untuk mencari naskah asal atau rakaman asal “Wasiat” tersebut. Namun masih juga gagal.

Dokumen-dokumen dan fail-fail yang berhubung dengan tarikh 5 Ogos 1957 hanya melaporkan berkenaan dengan majlis menandatangan persetujuan pembentukan Perlembagaan Persekutuan oleh Raja-Raja Melayu. Tiada satu pun yang melaporkan mahupun menyentuh sedikit pun mengenai “Wasiat” tersebut.

Satu makalah yang bertajuk Peranan UMNO Menegakkan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan: Satu Kajian Secara Kronologikal yang ditulis bersama oleh 4 orang ahli akademik dan diterbitkan dalam jurnal Akademika dalam bulan April 2017 telah cuba untuk merungkaikan “percanggahan” berkenaan dengan Islam di dalam “wasiat” dan perenggan 169 Laporan Suruhanjaya Reid.

Menurut gabungan penulis tersebut, Raja-Raja Melayu yang pada mulanya tidak mahukan Islam diletakkan sebagai agama persekutuan telah akhirnya menukar fikiran mereka. Pendapat ini disertakan dengan rujukan keratan akhbar “The Straits Times” bertarikh 13 Mac 1957.

Keratan akhbar tersebut melaporkan antara lain bahawa Raja-Raja Melayu bersetuju dengan cadangan memasukkan Islam sebagai agama persekutuan beserta dengan identiti persekutuan yang sekular.

Analisis makalah ini dalam persoalan “negara sekular” kurang memuaskan kerana ia cuba menepis identiti sekular ini dengan mentafsirkan bahawa sebenarnya Tunku Abdul Rahman hanya “berhelah” apabila beliau mencadangkan Persekutuan wujud sebagai sebuah negara yang sekular.

Akan tetapi, masalah yang paling utama adalah makalah ini tidak menyatakan mana-mana sumber rujukan mereka dalam menerangkan 7 Wasiat Raja-Raja Melayu pada mukasurat 102.

Aneh sekali kerana segala perbincangan yang  lain di dalam makalah ini disertai dengan sumber-sumber rujukan yang spesifik.

Akhirnya dalam satu Konvensyen Memperkukuh Pasak Negara : Ke Arah Wasiat Tersurat yang dianjurkan di Putrajaya dalam bulan Ogos 2017, salah seorang pembentang, iaitu Dr Mohd Fauzi Shafie, pengurus besar IKSIM, telah berterus terang dalam kertas kerjanya yang bertajuk Menyusur Akar Wasiat 7 bahawa setelah membuat pencarian di Arkib Negara dan Perpustakaan Negara, beliau tidak menjumpai pun sumber asal “wasiat” tersebut.

Aneh sekali, para pembentang yang lain yang terdiri dari Professor, Professor Madya, Datuk Dr dan Datuk tidak ada pun yang membincangkan di dalam kertas kerja mereka sama ada mereka pernah menjumpai naskah asal “wasiat” tersebut atau tidak.

Sehingga ke hari ini terdapat Profesor dan Profesor Madya di dalam kumpulan ini yang masih berterusan berceramah mengenai 7 Wasiat Raja Melayu tanpa mengesahkan samada mereka telah berjumpa dengan naskah asal “wasiat” tersebut atau tidak.

Ada yang mencadangkan bahawa ‘Wasiat” tersebut tidak perlu dipersoalkan kerana isi kandungannya ada dalam Perlembagaan Persekutuan. Akan tetapi jika dilihat dengan lebih teliti di dalam kelas pengajian undang-undang Perlembagaan, ia melahirkan banyak pertanyaan terutamanya apabila dirujuk kepada Perkara 40, Perkara 181 dan Jadual 8 Perlembagaan Persekutuan yang membataskan kuasa Raja-Raja Melayu.

Sebagai contoh: apakah ruang lingkup sebenar kuasa Raja-Raja Melayu pada zaman sebelum Merdeka? Apakah maksud dan ruanglingkup “Islam” yang dimaksudkan di dalam Wasiat tersebut?

Siapakah yang sebenarnya yang bertanggungjawab merangka sistem tanah rezab Melayu dan apakah tujuan sebenarnya sistem tersebut yang berlatarbelakangkan sistem kapitalis dan penjajahan British pada zaman sebelum Merdeka?

Kenapakah Penjajah British mengatakan mereka prihatin dengan nasib orang Melayu sedangkan pihak Penjajah sendiri menzalimi sistem pendidikan dan ekonomi orang Melayu? Siapakah sebenarnya yang menerima keistimewaan dari Penjajah?

Adakah Perlembagaan kita bercirikan “traditional constitutionalism” dan bukan “modern constitutionalism”?) dan ruangan ini tidak cukup untuk membincangkan kesemua persoalan tersebut.

Disebabkan “Wasiat” ini masih lagi dibangkitkan baru-baru ini, adalah diharapkan agar semua penceramah, professor emeritus, professor, professor madya, pakar undang-undang, pensyarah, pelajar Phd, pegawai Pejabat Pendaftar, pegawai hal ehwal pelajar beserta dengan institusi-institusi yang gemar menggunakan “Wasiat” ini di dalam ceramah/modul program/penulisan mereka dapat membantu di dalam mencari naskah asal atau rakaman asal “Wasiat” ini.– 23 April, 2021.


* Mohd Nazim Ganti Shaari, Fakulti Undang-Undang, UiTM.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen