Pengundi Melayu mahu calon kuat agama, kata kajian UM


Bede Hong

Di kawasan pilihan raya majoriti penduduk Melayu, wakil rakyat yang beragama adalah antara tiga ciri pilihan utama yang pengundi mahu lihat ada pada pemimpin mereka. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Januari, 2018.

APAKAH yang dicari oleh pengundi pada seseorang wakil rakyat?

Berintegriti dan bebas rasuah, ada karisma dan beragama.

Tiga perkara itu ciri utama mengikut turutan dalam dapatan satu kaji selidik yang dijalankan di 12 kawasan pilihan raya Parlimen oleh sekumpulan penyelidik Universiti Malaya antara Julai dan Disember tahun lalu.

Di kawasan pilihan raya majoriti penduduk Melayu, wakil rakyat yang beragama adalah antara tiga ciri pilihan utama yang pengundi mahu lihat ada pada pemimpin mereka.

Apabila semua ciri pilihan itu diambil secara pukul rata, 12 ciri yang diambil berat oleh pengundi adalah seperti berikut: berintegriti dan bebas rasuah, berkarisma, beragama, berpendidikan tinggi, berpengalaman, anak tempatan, ada jawatan dalam parti, latar belakang keluarga, muda, berketerampilan menarik, keturunan keluarga dan popular di media sosial.

Kajian itu meneliti kerusi Parlimen Jerlun, Permatang Pauh, Kuala Krai, Kuala Terengganu, Sepang, Bandar Tun Razak, Gelang Patah, Pasir Gudang, Penampang, Semporna, Petra Jaya dan Bandar Kuching.

Daripada 12 kerusi itu, tiga dipegang oleh Barisan Nasional (BN) manakala bakinya disandang pembangkang iaitu masing-masing dua kerusi PKR, Amanah dan DAP, dan baki tiga kerusi lagi Warisan, PAS dan wakil rakyat bebas.

Kawasan pilihan raya itu tersebar di serata negara, di utara dan selatan, timur dan barat Semenanjung Malaysia serta di Sabah dan Sarawak.

Kajian itu menggunakan kaedah soal selidik dan kumpulan fokus terbuka, melibatkan 1,550 responden.

Pemimpin yang bersih dan bebas rasuah adalah pilihan nombor satu pengundi di semua kerusi kecuali Penampang di Sabah dan Petra Jaya di Sarawak.

Di Penampang, pengundi lebih mengutamakan calon anak tempatan manakala bersih dan bebas rasuah pilihan kedua, sementara di Petra Jaya, pemimpin yang beragama dilihat lebih utama.

Berintegriti dan bebas rasuah antara 12 ciri utama pilihan pengundi terhadap calon selain berkarisma, berpendidikan tinggi, anak tempatan, berketerampilan menarik, keturunan keluarga dan popular di media sosial. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Januari, 2018.

Penampang diwakili oleh Darell Leiking, yang keluar dari PKR pada 2016 untuk menubuhkan Warisan, parti pembangkang tempatan Sabah yang akan menyertai pilihan raya umum untuk kali pertama.

Ahli Parlimen Petra Jaya pula ialah Menteri Kerja Raya Fadillah Yusof yang juga ketua Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB). Kawasan parlimennya itu meliputi sebahagian besar wilayah utara Kuching dan menempatkan tiga kerusi negeri iaitu Tupong, Samariang and Satok.

Satok diwakili Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg, yang kini mengetuai PBB, parti utama komponen BN di Sarawak yang disertai oleh etnik Dayak, Melayu, Orang Ulu dan Melanau. PBB menguasai 45 daripada 82 kerusi di Dewan Undangan Negeri Sarawak.

Kawasan pilihan raya lain yang menitikberatkan pemimpin beragama sebagai antara tiga pilihan utama yang mereka cari pada wakil rakyat ialah Permatang Pauh, Kuala Krai, Kuala Terengganu, Sepang dan Semporna.

Laporan lebih lengkap kaji selidik ini akan dikeluarkan dalam masa beberapa minggu lagi, kata ketua penyelidiknya, Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi dari Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya. – 7 Januari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen