Sijil vaksinasi MySejahtera akan jadi pasport kesihatan digital, kata pengasas


Ragananthini Vethasalam

Sijil digital dikeluarkan kepada semua pengguna aplikasi MySejahtera yang telah melengkapkan vaksinasi, direka mengikut standard pihak berkuasa kesihatan dan perjalanan global. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 April, 2021.

SIJIL vaksinasi dalam aplikasi MySejahtera akan digunakan sebagai pasport kesihatan digital pada masa akan datang, kata pengasas aplikasi, Dr A Maheshwara Rao.

Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Kawalan Penyakit Kementerian Kesihatan memberitahu The Malaysian Insight sijil digital, dikeluarkan kepada semua pengguna aplikasi berkenaan yang telah melengkapkan vaksinasi, direka mengikut standard pihak berkuasa kesihatan dan perjalanan global.

“Setakat ini sijil vaksinasi Covid-19 diberikan kepada semua pengguna MySejahtera yang telah divaksin.

“Pada masa akan datang, ini akan dijadikan pasport kesihatan digital untuk perjalanan dalam negara dan antarabangsa.

“Sijil digital untuk vaksinasi direka dengan mengambil kira standard yang ditetapkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA),” kata Dr Maheshwara.

Kementerian juga merancang untuk meluaskan MySejahtera kepada aplikasi penjagaan kesihatan negara juga untuk penyakit lain selain Covid-19, tambahnya.

Aplikasi ini juga akan dilengkapi dengan sistem pengurusan klinikal (CMS) pada masa akan datang.

Aplikasi ini, yang dimuat turun lebih 24 juta merupakan hasil ciptaan Dr Maheshwara yang disokong oleh pengarah bahagian kawalan penyakit kementerian Dr Norhayati Rusli.

Ia dibangunkan bagi membantu kementerian kesihatan mencari jalan untuk memaklumkan masyarakat perkembangan terkini berkaitan penularan Covid-19, kata Dr Maheshwara.

“Terdapat juga keperluan untuk membolehkan kementerian menjalankan pengesanan kontak.

“Permintaan ini dapat dipenuhi melalui aplikasi mudah alih yang memungkinkan anggota masyarakat untuk melakukan penilaian kendiri dan juga membuat mereka sedia maklum dengan informasi terbaru tentang Covid-19.

“Bukan itu sahaja, ini juga akan mendorong pematuhan terhadap perintah kawalan pergerakan,” katanya.– 23 April, 2021.

Berita penuh di sini. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen