Kebenaran vaksin untuk ke luar negara selepas dinilai, kata menteri


Ragananthini Vethasalam

Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin akan membuat pertimbangan mengenai kebenaran penggunaan vaksin kepada pengembara ke luar negara.– Gambar fail The Malaysian Insight, 23 April, 2021.

PERMOHONAN suntikan vaksin bagi individu yang perlu ke luar negara akan dinilai satu persatu, kata Menteri Kesihatan Dr Adham Baba.

“JKJAV (Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin) akan buat pertimbangan sendiri untuk memutuskannya (penggunaan vaksin kepada pengembara),” katanya kepada The Malaysian Insight.

Dr Adham berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada mereka yang perlu membuat perjalanan ke luar negara atas tujuan kerja dan menyambung pelajaran perlu memohon suntikan vaksin Covid-19.

Katanya, pengembara dikehendaki membuat permohonan kepada Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF).

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin baru-baru ini berkata individu dan pasukan yang mewakili negara untuk pertandingan antarabangsa dibenarkan untuk menerima suntikan vaksin Covid-19 atas kapasiti kepentingan negara.

Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan kini masuk fasa kedua.

Kerajaan mensasarkan untuk memberi suntikan vaksin kepada 9.4 juta orang dalam fasa kedua program itu, termasuk golongan berisiko tinggi seperti warga emas berusia 60 tahun ke atas, golongan rentan dengan masalah morbiditi dan orang kurang upaya (OKU).

Menteri Kanan Keselamatan Ismail Sabri Yaakob pada 12 April lalu berkata kerajaan masih belum bincang sama ada untuk mewajibkan vaksin kepada individu ke luar negara, dan syarat tersebut tertakluk kepada keperluan yang ditetapkan oleh negara terbabit.

Awal bulan ini, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata rakyat Malaysia yang sudah menerima dua dos vaksin Covid-19 bukan sahaja akan dibenarkan merentas negeri, malah dijangka boleh ke luar negara tertentu, dengan syarat mereka memiliki sijil pengesahan.

Perkara itu sudah dibincangkan dengan beberapa negara, tambahnya.

Buat masa ini, perjalanan ke luar negara atas tujuan percutian masih tidak dibenarkan.

Warganegara Malaysia dan penduduk tetap hanya dibenarkan merentas sempadan negara atas urusan kerja dan pendidikan. Bagaimanapun, kebenaran tertakluk kepada kelulusan Jabatan Imigeresen. – 23 April, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen