Doktor haiwan Chile didakwa suntik vaksin koronavirus anjing kepada manusia


Pihak berkuasa kesihatan Chile menyiasat dua doktor haiwan yang didakwa menyuntik puluhan individu dengan vaksin koronavirus untuk anjing. – Gambar EPA, 2i April, 2021.

DUA doktor haiwan di Chile disiasat selepas didakwa memberikan vaksin koronavirus untuk anjing kepada sekurang-kurangnya 75 individu beberapa bulan sebelum vaksin bagi manusia tiba di negara itu, kata pegawai kesihatan pada Selasa.

Kedua-dua doktor itu dituduh memberikan vaksin koronavirus dibangunkan khas untuk anjing, yang tidak sama dengan virus SARS-CoV-2, kepada puluhan individu di bandar Calama di utara Chile.

Persoalan muncul pada September lalu, apabila pegawai kesihatan yang melawat berkata pekerja di klinik veterinar di Calama beroperasi tanpa memakai pelitup muka. 
Ketika disoal, mereka mendakwa mereka sudah menerima vaksin oleh doktor haiwan tempatan.

Vaksin Covid-19 pertama tiba di Chile beberapa bulan kemudian, pada Disember.

Ia kemudian diketahui seorang doktor haiwan lain turut memberikan vaksin anjing kepada lebih banyak orang.

“Ini sangat berbahaya,” kata setiausaha kesihatan Rossana Diaz dari wilayah Antofagaste kepada badan penyiar 24horas.

“Ada kajian menunjukkan kesan kepada manusia dapat bersifat lokal, seperti kerengsaan ... atau sistemik,” tambahnya.

Kedua-dua kes itu diketahui minggu ini apabila pegawai kesihatan melaporkan kepada pendakwa raya yang doktor haiwan gagal membayar denda yang dikenakan.

Pihak berkuasa kesihatan awam Seremi berkata sekurang-kurangnya 75 orang menerima vaksin anjing, termasuk pekerja kesihatan dan pelombong.

Chile setakat ini sudah memberikan sekurang-kurangnya satu dos vaksin SARS-CoV-2 yang diluluskan kepada kira-kira 7.7 juta orang, daripada 15.2 juta penduduk yang menjadi sasaran.

Ia mencatat 1.13 juta jangkitan koronavirus dan lebih 25,000 kematian. – AFP, 21 April, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen