Khairy perjelas isu petugas kesihatan dijangkiti Covid-19 walaupun divaksin


Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin mengulas tentang berita pekerja kesihatan yang dijangkiti virus itu walaupun sudah menerima dua dos lengkap vaksin Covid-19. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 April, 2021.

ORANG ramai masih boleh dijangkit Covid-19 walaupun menerima suntikan penuh vaksin, kata Menteri Sains, Teknologi dan Innovasi Khairy Jamaluddin.

Beliau mengulas tentang berita pekerja kesihatan yang dijangkiti virus itu walaupun sudah menerima dua dos lengkap vaksin Covid-19.

“Semalam, seluruh Malaysia dalam kekalutan susulan kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah tentang 40 petugas kesihatan dijangkiti virus itu walaupun sudah menerima vaksin,” katanya.

“Kumpulan antivaksin akan mengambil kesempatan di media sosial dengan mengatakan vaksin Covid-19 ini ibarat mencucuk air kosong ke dalam badan.”

Beliau berkata orang ramai mula berspekulasi berita itu tanpa memahami konteks dan hanya membaca tajuk berita.

Khairy yang juga merupakan menteri penyelaras Program Immuniasasi Covid-19 Kebangsaan berkata 31 daripada 40 petugas yang dijangkiti virus itu tidak menerima dua dos penuh.

Beliau menjelaskan bahawa sistem imunisasi badan hanya bersedia melawan virus itu kira-kira dua minggu selepas menerima dos kedua.

“Ini baru dikira individu tersebut telah menerima vaksin sepenuhnya,” katanya.

“Walaupun telah divaksin secukupnya, ia tidak bermakna kita tidak boleh dijangkit. Ia masih boleh berlaku walaupun vaksin mengurangkan kebarangkalian untuk dijangkiti,” katanya.

Khairy berkata individu yang menerima vaksin penuh tidak akan mengalami simptom teruk seperti kesukaran bernafas atau mati jika dijangkiti Covid-19.

“Ini sebebnya sembilan petugas kesihatan yang dikesan positif Covid-19 selepas menerima dua dos tidak mengalami simptom yang teruk atau tiada langsung simptom,” katanya.

Beliau sekali menegaskan bahawa vaksin Covid-19 adalah selamat dan berkesan.

Semalam Dr Noor Hisham berkata seramai 40 petugas kesihatan dijangkit wabak itu selepas menerima dos kedua. – 18 April, 2021.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen