Kes jangkitan baharu Covid-19 lepasi 2,000 


Pengunjung bazar Ramadan di Kampung Baru, Kuala Lumpur. Jumlah kes jangkitan baharu Covid-19 melepasi 2,000 hari ini.– Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 15 April, 2021.

MALAYSIA merekodkan 2,148 kes jangkitan baharu Covid-19, buat pertama kalinya sejak 28 Februari lalu.

Sebanyak 2,437 kes direkodkan pada tarikh berkenaan.

Kementerian Kesihatan dan Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah mendedahkan angka terkini di akaun Twitter lebih awal daripada sidang media harian berhubung jangkitan baharu.

Kenaikan itu menjadikan jumlah kumulatif kes di negara ini kepada 367,977.

Semalam jumlah kes jangkitan baharu harian adalah 1,889, yang mana ia merupakan tertinggi dalam tempoh 40 hari.

Lonjakan kes itu adalah selepas pengumuman yang dibuat Dr Noor Hisham awal hari ini bahawa kadar kebolehjangkitan (R-naught atau R0) Covid-19 semalam naik kepada 1.14 berbanding 1.09 pada Selasa, merupakan peningkatan selama empat hari sejak hujung minggu.

Semalam beliau turut mengumumkan sebanyak 17 kes tempatan dikesan daripada strain Afrika Selatan B.1.351 yang lebih mudah berjangkit. 

Lonjakan kes dan kemunculan varian B.1.351 berlaku ketika peniaga bazar Ramadan dibenarkan berniaga pada bukan puasa, bermula Selasa.

Kementerian Kesihatan turut mengumumkan kes baharu sejak 24 jam lalu mengikut negeri yang mana Sarawak mencatatkan kes tertinggi iaitu 512 kes.

Ini diikuti oleh Selangor dengan 459, Kelantan (221), Sabah (202), Johor (182), Kuala Lumpur (171) dan Pulau Pinang (134).

Setiap negeri merekodkan kes baharu, namun hanya tiga negeri merekodkan kes jangkitan baharu satu digit iaitu Putrajaya (3), Labuan (8) dan Perlis (1).– 15 April, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen