Isu hutang akan goncang Felda, bukan skandal tanah


Ikhwan Zulkaflee

Walaupun kesannya masih belum dilihat, isu Felda berisiko kehilangan tanahnya di Jalan Semarak sedikit sebanyak akan memberi kesan kepada sokongan terhadap BN. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Januari, 2018.

SKANDAL pindah milik tanah Felda di Jalan Semarak, Kuala Lumpur bernilai RM270 juta yang menjadi tajuk utama berita hanya isu sampingan bagi sebahagian besar 1.2 juta peneroka dan ahli keluarga mereka.

Apa yang lebih mendesak bagi mereka adalah hutang besar yang diterima daripada agensi itu dan kegagalan pengurusan pegangan mereka oleh anak syarikat Felda, Felda Technoplant Sdn Bhd (FTP).

Menurut peneroka, beban hutang yang membelit itulah yang akan menggoncang undi peneroka Felda di seluruh skim tanah rancangan itu di 54 kawasan Parlimen luar bandar di Semenanjung Malaysia.

Apa yang lebih mendesak bagi peneroka adalah hutang besar daripada Felda dan kegagalan pengurusan pegangan mereka oleh Felda Technoplant Sdn Bhd (FTP). – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Januari, 2017.

Undi Felda selama ini antara deposit kekal Barisan Nasional (BN) tetapi salah urus pegangan peneroka dan hutang mereka dipercayai akan menjejaskan kedudukan kubu kuat tradisi pemerintah itu.

Namun peneroka mengakui skandal seperti urus niaga tanah di Jalan Semarak dan pembelian hartanah anak syarikat boleh menimbulkan kemarahan, terutamanya dalam kalangan generasi kedua peneroka terhadap kerajaan.

Skandal ini merupakan inti pati kempen Pakatan Harapan (PH) yang kini dilihat semakin membuka laluan ke dalam Felda, kesan pengaruh Dr Mahathir Mohamad, bekas perdana menteri yang kini beralih mengetuai gabungan pembangkang.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Suara Generasi Kedua Felda (SGK2F) Zulkefli Nordin berkata pendedahan terkini tentang risiko Felda kehilangan tanahnya di Jalan Semarak bukan isu utama yang meniti di bibir peneroka.

“Isu pengurusan ladang yang teruk oleh Felda dan anak syarikatnya FTP, isu lambakan hutang serta penyata hutang yang dilihat tidak telus.

“Ini sebenarnya isu yang kerajaan perlu selesaikan segera jika ingin mengambil hati warga peneroka kerana ia isu sebenar melanda rancangan Felda,” kata Zulkefli kepada The Malaysian Insight menerusi aplikasi WhatsApp.

Keluarga Felda secara umumnya terbahagi kepada dua atau tiga generasi.

Generasi pertama adalah peneroka yang mula-mula menerima 10 ekar tanah daripada agensi itu untuk memulakan penanaman getah atau kelapa sawit. Mereka sebahagian daripada 30-40% pengundi Felda.

Generasi kedua adalah anak kepada peneroka Felda pertama yang terdiri daripada antara 50% hingga 60% pengundi Felda. Anak kepada generasi kedua menjadi yang ketiga dan tidak semua mereka layak mengundi.

Zulkefli berkata kebanyakan generasi pertama setia kepada BN, tetapi generasi kedua lebih kritikal.

“Apa yang menjadi kerisauan kami adalah isu pokok yang masih belum diselesaikan. Ini yang berjaya dimainkan oleh pihak pembangkang untuk menarik perasaan peneroka Felda dan anak-anak mereka.

“Peneroka Felda (generasi pertama) sebenarnya tidak menggunakan isu berbangkit sebagai alasan untuk tidak mengundi BN tapi apa yang kita risaukan ialah golongan muda (generasi kedua),” katanya.

Menangguk di air keruh

Akhir Disember lalu, akhbar Berita Harian melaporkan Felda berisiko kehilangan tanah di tengah-tengah Kuala Lumpur berikutan urus niaga meragukan yang berlaku pada 2015.

Tanah itu sepatutnya dibangunkan untuk Projek Kuala Lumpur Vertical City, namun pengurusan baharu Felda mendapati pemilikan tanah berkenaan ditukarkan kepada pemaju. Felda kini cuba untuk mendapatkan semula tanah itu.

Zulkefli berkata beliau maklum pengerusi baharu Felda, Shahrir Samad mencuba yang terbaik untuk memperbaiki agensi itu tetapi dalam keadaan serba kekurangan.

“Sebagai contoh, peneroka berdepan masalah untuk mendapatkan penyata hutang. Apabila penyata itu dikeluarkan terdapat butiran yang meragukan.

“Sehingga kini Felda dan FTP gagal mengeluarkan penyata yang meyakinkan,” kata Zulkefli.

Pengerusi baharu Felda, Shahrir Samad dilihat mencuba yang terbaik untuk memperbaiki agensi itu tetapi dalam keadaan serba kekurangan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Januari, 2017.

Shahrir sebelum ini berkata hutang berjumlah antara RM60,000 hingga RM160,000 itu sebenarnya kos dikeluarkan FTP untuk proses penanaman semula bermula pada tahun 2000.

Bagaimanapun, peneroka mendakwa Felda tidak telus dalam potongan bulanan daripada tuaian mereka untuk membayar hutang.

Ada yang mendakwa berhutang dengan Felda tetapi mengeluarkan modal sendiri untuk menanam pokok mereka.

Pengerusi pasukan petugas Felda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Wan Mohd Shahrir Wan Abd Jalil berkata perjanjian tanah Jalan Semarak akan mengurangkan sokongan Felda terhadap BN.

Katanya, isu itu membuktikan dakwaan PH bahawa kerajaan BN terus menyalahgunakan Felda.

“Peratusnya sekitar 40% saja namun mereka yang menyokong itu tetap merungut tentang bayaran hasil yang lewat, ladang tidak diurus dengan baik, hutang tinggi dan tak tau jumlah sebenar hutang,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Presiden Kami Anak Felda, sebuah lagi kumpulan peneroka generasi kedua, Fakhrurrazi Mohd Habib berkata, generasi kedua dilihat akan menentang kerajaan.

“Generasi kedua tidak begitu dekat dengan idea Felda, mereka tidak tahu perjuangan generasi pertama yang tidak mempunyai tanah tetapi diberi tanah oleh kerajaan,” katanya.

Walaupun kesannya masih belum dilihat, isu Felda berisiko kehilangan tanahnya di Jalan Semarak sedikit sebanyak akan memberi kesan kepada sokongan terhadap BN kerana ia akan dijadikan peluru oleh pembangkang dalam kempen mereka, kata Fakhrurrazi.

“Saya lihat pembangkang ni memang suka menangguk di air keruh. Dia tunggu isu timbul kemudian mereka akan spin dan sensasikan. Kita di pihak Felda kena jelaskan perkara ini.”

Bekas presiden Majlis Belia Felda Malaysia Anuar Manap berkata tindakan pantas kerajaan terhadap skandal Jalan Semarak akan membantu meredakan impaknya di kalangan peneroka.

“Ia harta Felda yang nostalgik buat mereka kerana di situ mereka pernah berhimpun dan berurusan dengan pengurusan agensi ini,” katanya yang juga Ahli Parlimen Sekijang.

Anuar berkata beliau yakin pembangkang tidak akan dapat banyak untung dengan menggunakan isu tanah Jalan Semarak.

“Tak perlu untuk mereka (PH) sensasikan isu ini dan cakap tentang ada salah laku. Kita tahu perkara itu sebab itu ia dibongkar. Kita tidak lindung kesalahan dan mahu isu ini diselesaikan untuk jaga kepentingan Felda.” – 6 Januari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • felda pasti akan bangkit dari kegelapan selepas Shahrir mengambil alihnya baru2 ini..ini terbukti dgn pembongkaran isu2 yg membabitkan felda baru2 ini..apa yg pasti felda akan menyelesaikan semua isu yg dialami & kembali menjadi gergasi utama yg menerajui negara...

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Amer Farid · Ulasan

  • Isunya bukan hanya usually hutang. Isunya Felda jadi agensi Ah King Sing and pendroka Hadi pelanngan Yang berhutang itu komsrp gila.

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Bigjoe Lam · Ulasan

  • Isunya bukan saja isu hutang. Isunya Felda jadi agensi Ah Long dan peneroka jadi pelanggannya, konsep gila.

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Bigjoe Lam · Ulasan