Pekerja kilang di Pulau Pinang, Selangor diutamakan vaksin, kata Azmin


Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Mohamed Azmin Ali berkata pekerja dalam industri perkilangan dan pembuatan khususnya di Pulau Pinang dan Selangor akan diberikan keutamaan untuk menerima suntikan vaksin Covid-19. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 April, 2021.

PEKERJA dalam industri perkilangan dan pembuatan khususnya di Pulau Pinang dan Selangor akan diberikan keutamaan untuk menerima suntikan vaksin Covid-19, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Mohamed Azmin Ali.

Beliau berkata ini kerana kedua-dua negeri itu merupakan zon industri dengan aktiviti ekonomi yang amat rancak. 

“Kita ambil maklum Pulau Pinang dan Selangor antara negeri yang menyumbang kepada ekonomi negara sebab wujudnya industri dan aktiviti ekonomi yang rancak… maka ini adalah zon-zon yang akan diberikan keutamaan untuk pekerja-pekerja dalam industri perkilangan dan pembuatan mendapatkan suntikan vaksin,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas Program Mengedar Bubur Lambuk di Hulu Kelang dekat sini, hari ini, sebagai mengulas kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow bahawa kerajaan negeri itu masih menunggu maklum balas daripada Kerajaan Pusat berhubung gesaan supaya pekerja sektor industri dan perkilangan yang dikategorikan sebagai barisan hadapan ekonomi diberi keutamaan menerima vaksin Covid-19.

Mengulas lanjut, katanya kerajaan amat komited untuk memastikan proses Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan dapat dilaksanakan seberapa segera termasuklah pemberian suntikan terhadap pekerja asing. 

 “Sebabnya mereka ini memainkan peranan penting dalam memulihkan aktiviti ekonomi negara, tetapi seperti yang telah diumumkan Khairy Jamaluddin (Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan) bahawa kita juga berdepan dengan masalah bekalan vaksin. 

“Sekiranya bekalan vaksin ini dapat tiba dalam negara pada waktu yang telah dijadualkan, kita yakin proses ini (suntikan vaksin) dapat disempurnakan selewat-lewatnya sehingga hujung tahun ini. Setakat ini pembekalan vaksin berjalan dengan baik dan lancar. Kita dimaklumkan dalam bulan Mei dan Jun jumlah bekalan akan meningkat dengan lebih besar dan ini akan mempercepatkan proses imunisasi,” katanya.

Ditanya apakah tindakan pihak kementerian sekiranya negara berdepan gelombang keeempat Covid-19 memandangkan sektor industri ketika ini dibenarkan beroperasi pada kapasiti 100 peratus, Mohamed Azmin berkata pihaknya sedia mengambil sebarang tindakan sekiranya terdapat penilaian risiko yang dikemukakan Kementerian Kesihatan (KKM). 

“Apa kita lakukan sekarang adalah tindakan sebelum berlakunya penularan yang serius  dengan perkenalkan usaha-usaha pendekatan atau prosedur operasi standard (SOP) ‘safe at work’ supaya industri perkilangan dan pembuatan dapat berjalan tanpa gangguan dengan pematuhan ketat pada SOP.

“Tetapi sekiranya ada penilaian risiko dikemukakan pihak KKM, kita akan ambil tindakan tegas sebab kesihatan dan keselamatan rakyat adalah keutamaan,” katanya. – Bernama, 13 April, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen