Bas automatik mula beroperasi di Chongqing, China


Perkhidmatan bas automatik peringkat L4 yang pertama untuk laluan di kawasan barat China mula beroperasi di bandar Chongqing, semalam. – Gambar AFP, 13 April, 2021.

PERKHIDMATAN bas automatik peringkat L4 yang pertama untuk laluan di kawasan barat China mula beroperasi di bandar Chongqing, semalam.

Projek perintis pertama di seluruh negara itu turut menandakan kejayaan dalam pengkomersialan teknologi automotik di China.

Untuk kali ini, Robobus sepanjang 5.9 meter mempunyai kebolehan berhenti di stesen dengan tepat dan mampu mengharungi keadaan jalan yang rumit, sekali gus memenuhi spesifikasi operasi seperti bas biasa.

Menurut unit penyelidikan dan pembangunan, Robobus itu dilengkapi dengan empat radar laser, dua radar gelombang milimeter (MMW) dan tujuh kamera monocular.

Dengan dilengkapi pelbagai sistem canggih, ia membolehkan Robobus untuk menerima pelbagai jenis maklumat ketika dalam perjalanan termasuk mengesan pejalan kaki, kenderaan lain dan titik buta pada  cermin sisi bas.

Selain itu, bas itu juga berupaya mengesan perubahan lampu isyarat dan waktu menunggu yang secara tidak langsung memudahkan perancangan awal dibuat dan memendekkan masa perjalanan.

Bas beroperasi di laluan sepanjang 10 kilometer dengan perjalanan dua hala. β€“ Bernama, 13 April, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen