Pengundi India penentu 62 kerusi Parlimen, kata Ramasamy


Timbalan Menteri Kedua Pulau Pinang P Ramasamy berkata terdapat 62 kerusi yang menjadi penentu dalam PRU15. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 April, 2021.

PENGUNDI India akan jadi penentu di 62 kerusi Parlimen dalam pilihan raya akan datang terutamanya ketika ada persaingan sengit antara parti-parti yang bertanding, kata pemimpin DAP P Ramasamy.

Timbalan Menteri Kedua Pulau Pinang berkata 62 kerusi itu ada di Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, dan Johor.

“Dalam hal ini, mustahak untuk membentuk atau mengukuhkan gabungan sebelum pilihan raya akan datang.

“Di kawasan pilihan raya yang persaingannya sengit, undi daripada pengundi kaum India akan jadi penentu.

“Oleh itu, calon baik dari Pakatan Harapan atau Perikatan Nasional perlu mengambil serius pengundi kaum India,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Awal bulan ini, Timbalan Presiden MIC Sivarraajh Chandran memberitahu The Malaysian Insight ada 64 kerusi Parlimen yang boleh ditentukan oleh pengundi kaum India dalam pilihan raya akan datang.

Katanya, undi kaum India penting selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dijangka akan menyaksikan pertembungan tiga penjuru selepas Umno menolak kerjasama politik dengan Bersatu sementara PAS pula memilih untuk bersama Perikatan Nasional (PN).

Menurut Ramasamy, 62 kerusi boleh dibahagikan kepada empat kategori berdasarkan peratusan jumlah pengundi kaum India.

Kategori pertama melibatkan kawasan parlimen yang mempunyai antara 21 hingga 26% pengundi kaum India.

Ini terdiri daripada Padang Serai (21%) di Kedah, Batu Kawan (22.76%) di Pulau Pinang, Ipoh Barat (24.2%) Bagan Datoh (21%) dan Sungei Siput (21%) di Perak, Rasah (21%) dan Port Dickson (22%) di Negeri Sembilan, serta Kuala Selangor(21%) dan Kota Raja (27%) di Selangor.

Kategori kedua terdiri daripada kawasan Parlimen dengan 15 hingga 20% pengundi kaum India, kata Ramasamy.

Kerusi-kerusi ini ialah Merbok (15%) di Kedah, Bagan (15%) di Pulau Pinang, Batu Gajah (17%), Teluk Intan (18%) di Perak, Cameron Highlands (15%) di Pahang, dan Klang (17%), Hulu Selangor (16%), Selayang (17%), Subang (15%), Petaling Jaya (19%) dan Kuala Langat (16%) di Selangor.

Dua kerusi di Kuala Lumpur iaitu Batu (17%) dan Lembah Pantai (16%) juga masuk dalam kategori kedua bersama Rembau (15%) di Negeri Sembilan.

Kategori ketika melibatkan kawasan Parlimen dengan pengundi kaum India antara 10 hingga 14%, antaranya Sungai Petani (12%) dan Kulim (13%) di Kedah, Bukit Mertajam (10%) dan Bayan Baru (11%) di Penang.

Enam kerusi di Perak juga masuk dalam kategori ini iaitu Taiping (13%), Tambun (11%), Beruas (14%), Tapah (14%), Lumut (11%) dan Tanjung Malim (13%).

Di Selangor juga ada enam kerusi parlimen yang sama iaitu Gombak (10%), Hulu Langat (10%), Bangi (11%), Sungai Buloh (11%), Shah Alam (12%) dan Sepang (14%).

Di Negeri Sembilan ada tiga kerusi iaitu Seremban (13%), Jempol (12%), dan Tampin (12%) serta satu kerusi di Melaka iaitu Alor Gajah (12%).

Johor pula ada tujuh kerusi yang seperti ini iaitu Segamat (10%), Pagoh (11%), Tebrau (11.5%), Kulai (10%), Iskandar Puteri (12.5%), Pulai (10%) dan Pasir Gudang (10%).

Kategori keempat ialah kerusi dengan jumlah pengundi kaum India tidak lebih 9% seperti Indera Mahkota, Temerloh dan Bentong di Pahang, Ampang dan Pandan di Selangor, Jasin di Melaka serta Kluang dan Sembrong di Johor.

Ramasamy bagaimanapun berkata pola pengundian kaum India akan ditentukan oleh persaingan utama dalam pilihan raya nanti selain gabungan yang bertanding serta tawaran kepada mereka.

“Mana-mana gabungan politik yang mahu menang di peringkat persekutuan atau negeri tidak boleh hanya memberi perhatian kepada pengundi Melayu dan Cina, tetapi juga kaum India,” tambahnya.

Tegas beliau, pengundi India tidak boleh diremehkan sebagai tiada pengaruh dari segi politik walaupun jumlah mereka kecil. – 13 April, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen