Minneapolis dikenakan perintah berkurung


Anggota tentera berkawal di bandar Minneapolis yang dikenakan perintah berkurung susulan insiden polis tembak mati seorang lelaki kulit hitam. – Gambar EPA, 13 April, 2021.

MINNEAPOLIS dikenakan perintah berkurung mulai semalam susulan insiden polis menembak mati seorang lelaki kulit hitam.

Insiden itu mencetuskan semula ketegangan di Amerika Syarikat (AS) yang hampir berakhir selepas perbicaraan pembunuhan George Floyd.

Klip video kamera pada badan polis yang dirakamkan di Brooklyn Center tempat kejadian itu berlaku merakamkan pegawai berkenaan dikatakan menembak mangsa, Daunte Wright, 20.

“Pegawai menarik pistol dan bukannya ‘taser’ iaitu peranti kawalan elektroniknya. Pegawai itu dipercayai melepaskan tembakan secara tidak sengaja hingga mengakibatkan kematian tragik Wright.

“Tiada apa yang boleh saya katakan untuk meredakan kesedihan keluarga mangsa,” kata Ketua Polis Brooklyn Center Tim Gannon pada sidang media.

Katanya, pegawai terbabit diarahkan bercuti sementara siasatan dijalankan. Bagaimana pegawai polis terbabit tersilap mengambil senjata dan bukan taser masih dalam siasatan.

Dalam rakaman kamera badan itu, pegawai polis dilihat menarik Wright keluar dari keretanya selepas berhenti kerana melakukan kesalahan lalu lintas dan mendapati dia mempunyai waran tertunggak.

Sementara itu, Presiden AS Joe Biden menyifatkan pembunuhan itu sesuatu yang tragik serta memberikan amaran ia mungkin mencetuskan lagi rusuhan. – AFP, 13 April, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen