Ribuan penunjuk perasaan anti Perancis di Pakistan


Polis Pakistan guna gas pemedih mata dan meriam air ke arah ribuan penyokong parti anti kufur selepas penahanan ketua mereka, dan mendesak duta Perancis dihalau. – Gambar EPA, 13 April, 2021.

POLIS Pakistan melepaskan gas pemedih mata dan meriam air ke arah ribuan penyokong parti anti kufur selepas penahanan ketua mereka, dan mendesak duta Perancis dihalau.

Sentimen anti Perancis mula hangat sejak beberapa bulan lalu di Pakistan sejak Presiden Emmanuel Macron menyuarakan sokongan terhadap hak majalah menerbitkan kartun menggambarkan Nabi Muhammad.

Saad Rizvi, pemimpin Tehreek-e-Labbaik Pakistan (TLP), ditahan di Lahore semalam, kata parti itu.

Penahanannya disahkan polis tetapi tidak memberitahu pertuduhannya.

Beliau sedang cuba menganjurkan perarakan di ibu kota itu pad 20 April bagi mendesak duta Perancis dihalau.

Rizvi ialah anak lelaki ulamak terkemuka dan lantang, yang juga mengetuai TLP, Khadim Hussain Rizvi, sebelum meninggal dunia pada November.

Polis menggunakan gas pemedih mata untuk menyuraikan ribuan penunjuk perasaan yang menyekat jalan dan persimpangan di Lahore, bandar kedua terbesar di negara itu.

Tahun lalu, penyokong TLP menyebabkan ibu kota itu hampir tidak berfungsi selama tiga hari dengan siri himpunan anti Perancis. – AFP, 13 April, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen