Alvin Goh, adik didakwa terima wang hasil aktiviti haram lebih RM2.1 juta


AHLI perniagaan Goh Leong Yeong atau lebih dikenali Alvin Goh dan adiknya hari ini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen atas tujuh pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah lebih RM2.1 juta.

Bagaimanapun, Alvin Goh, 33, dan Goh Yeong Hui, 28, mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Sabariah Othman.

Berdasarkan ketujuh-tujuh pertuduhan itu, mereka sebagai pengarah syarikat Malaysia House of Internet Sdn Bhd didakwa menerima wang berjumlah RM2,144,000 menggunakan akaun milik syarikat mereka daripada dua lelaki warga China yang merupakan hasil daripada aktiviti haram di Public Bank Berhad, Jalan Bukit Bintang, di sini antara 9 Septembere dan 7 November 2019.

Pertuduhan mengikut Subseksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada aktiviti haram (AMLATFPUAA) 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 15 tahun dan denda lima kali nilai atau hasil aktiviti haram atau RM5 juta mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Lee Keng Fatt memohon mahkamah menawarkan jaminan RM300,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh berserta syarat tambahan perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan sebulan sekali.

 “Mohon mahkamah mengambil kira jumlah yang terlibat adalah melebihi RM2 juta dan kedua-dua tertuduh adalah ‘flight risk’ (risiko untuk melarikan diri). Selain itu, jumlah jaminan yang ditawarkan sangat munasabah kerana kes itu adalah serius.

“Tertuduh pertama (Alvin Goh) juga pernah melarikan diri dan gagal dikesan selama beberapa minggu oleh pihak berkuasa pada 2020,” katanya.

Bagaimanapun, peguam Jacky Loi Yap Loong yang mewakili kedua-dua tertuduh memohon jaminan RM30,000 diberikan kepada Yeong Hui memandangkan Alvin Goh tidak boleh dijamin kerana dia kini ditahan di bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959.

“Sebelum ini, anak-anak guam saya dituduh di Mahkamah Khas Pati di Semenyih dengan pasport mereka diserahkan kepada mahkamah, jadi tiada risiko untuk kedua-dua tertuduh melarikan diri.

“Bagaimanapun, untuk membetulkan rekod, anak guam saya tidak melarikan diri sebaliknya dilepaskan dengan jaminan ketika ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia,” kata peguam itu.

Mahkamah kemudiannya membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM200,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan mereka perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan sebulan sekali dan 24 Mei ini ditetapkan untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen.

Alvin Goh yang memakai baju lokap POCA berwarna putih tiba di mahkamah jam 11.05 pagi dengan menaiki sebuah van dari Jabatan Penjara dan sejurus tiba, lelaki itu yang bergari dikawal ketat oleh anggota serta pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) sebelum dibawa masuk ke Mahkamah Sesyen bagi proses pendakwaan.

Pada 1 Disember tahun lepas, Bernama melaporkan, suspek utama sindiket Macau Scam dan kegiatan perjudian dalam talian, Zaidi Kanapiah atau dikenali sebagai Addy Kanna dan Alvin Goh serta dua anggota polis dikenakan perintah tahanan selama dua tahun mengikut POCA.

Sebelum ini, media melaporkan, Alvin Goh dicari bagi membantu siasatan kes Macau Scam dan judi dalam talian sebelum berjaya diberkas ketika dia bersembunyi di sebuah apartment di Genting Highlands, Pahang.

Lelaki itu menjadi buruan polis sejak berjaya meloloskan diri selepas memanjat pagar belakang bangunan SPRM di Putrajaya pada 11 Oktober tahun lepas. – Bernama, 12 April, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen