Penyembah Putera Philip kata semangatnya terus hidup


Ketua kampung Yakel, Albi, dan anggota keluarganya, memegang potret Putera Philip di kampung Pasifik di Vanuatu pada 12 April 2021 di mana sebelum ini mereka menyembah Putera Philip sebagai dewa yang masih hidup. – Gambar AFP, 12 April, 2021.

PARA ketua kampung terpencil di Pasifik yang memuja Putera Philip menyampaikan pesan kepada Ratu Elizabeth II pada Isnin dengan berkata, semangatnya mendiang akan terus hidup.

Bagaimanapun penyembah di kampung Yakel di pulau Tanna di Vanuatu berkata mereka belum tahu siapa yang akan menjadi pemimpin rohani baharu mereka.

Selama beberapa dekad, penduduk dua kampung di pedalaman pulau gunung berapi Tanna yang subur di Vanuatu - Yaohnanen dan Yakel - telah mengagungkan Philip yang meninggal di Istana Windsor minggu lalu pada usia 99 tahun.

Ketua kampung Yakel, Albi berkata tidak jelas bagaimana kematian Philip akan mempengaruhi gerakan keagamaan, kerana semangatnya dipercayai sedang merewang dan mencari rumah baharu.

Walaupun ramai orang luar menganggap putera sulung Philip, Charles atau cucunya, William dan Harry akan menggantikannya, Albi berkata ini belum pasti.

“Semangat Putera Philip telah meninggalkan tubuhnya, tetapi ia masih hidup - terlalu awal untuk mengatakan di mana ia akan tinggal,” katanya kepada AFP.

Para warga tua lain berpendapat penggantian Charles dijamin pada 2018, ketika dia diberi gelaran utama Mal Menaringmanu semasa berkunjung ke Pelabuhan Vila.

Di bawah bendera Britain yang berkibar setengah tiang, para ketua bertemu pada Isnin di Yaohnanen untuk menyelesaikan masalah yang dibangkitkan oleh kematian putera itu.

Ketua-ketua itu berkata mereka mengirim pesanan sulit kepada keluarga diraja itu setelah pemergian Philip.

Para pemimpin bercakap bergilir-gilir semasa perbincangan sulit mengenai arah masa depan sistem kepercayaan adat mereka, dengan resolusi mungkin akan diputuskan beberapa hari lagi. – AFP, 12 April, 2021.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen