Azmin memang pandai pasal audio video, kata Anwar


Presiden PKR Anwar Ibrahim berkata pandangan Azmin Ali tentang rakaman audio dikatakan perbualannya dengan presiden Umno, adalah pandangan peribadi ahli Parlimen Gombak itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 April, 2021.

ANWAR Ibrahim berkata pandangan Azmin Ali berkenaan rakaman audio yang terbocor dikatakan perbualan antara persiden PKR itu dan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi adalah pendapat peribadi.

“Itu pandangan dia (Azmin). Dia pasal audio dan video ni, memang pandai,” katanya pada sidang akhbar hari ini.

Ahli Parlimen Port Dickson itu bagaimanapun enggan mengulas lanjut perkara itu.

Semalam, Azmin menyifatkan audio yang dikatakan membabitkan dua pemimpin berkenaan sebagai “pengkhianatan” bagi pemimpin pembangkang itu.

“Saya kira ini merupakan pengkhianatan yang terbesar yang dilakukan Anwar Ibrahim bukan saja kepada partinya sendiri tapi juga kepada anggota komponen PH kerana secara sulit menjalankan rundingan dan perbincangan,” katanya yang juga ahli Parlimen Gombak.

Azmin hampir setahun lalu memainkan peranan penting dalam Langkah Sheraton, di mana beliau mengetuai sekumpulan wakil rakyat PKR keluar parti dan menyertai Muhyiddin Yassin dalam menjatuhkan Pakatan Harapan, sekali gus meruntuhkan kerajaan.

Azmin kemudian menyertai Bersatu dan dilantik sebagai menteri dalam Kabinet Perikatan Nasional.

“Saya sebagai pegawai yang berkhidmat dengan beliau sekian lama dan merupakan bekas setiausaha sulit beliau, saya yakin itu adalah rakaman sahih yang akan dibuktikan melalui penyiasatan yang akan dilakukan,” kata Azmin.

Beliau turut menggesa pihak berkuasa untuk segera menyiasat perkata itu dan memastikan individu yang terlibat mempertahankan diri mereka.

Azmin berkata presiden PKR dan Ahmad Zahid perlu jujur sekurang-kurangnya kepada ahli parti masing-masing.

Zahid sebelum ini menafikan klip audio perbualan yang dipercayai antara dirinya dan Anwar serta menyifatkan ia palsu, didedahkan pihak yang mahu melemahkan dan menghancurkan Umno. – 12 April, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen