Jumlah pesakit Covid-19 muda di ICU Brazil melebihi golongan tua


Jumlah pesakit berusia 40 tahun ke bawah di unit rawatan rapi di Brazil pada Mac melonjak kepada lebih 11,000 orang. – Gambar EPA, 12 April, 2021.

PESAKIT Covid-19 berusia bawah 40 tahun yang ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU) di Brazil bulan lalu lebih ramai daripada golongan tua, kata penyelidik.

Menurut Brazilian ICU Project, jumlah pesakit berusia 39 tahun dan lebih muda di unit itu pada Mac melonjak kepada lebih 11,000 orang atau 52.2% daripada jumlah keseluruhan.

Angka itu meningkat berbanding 16.4% semasa pandemik Covid-19 mula melanda Brazil, dan sekitar 45% mulai September 2020 hingga Februari tahun ini.

Bilangan pesakit berusia 80 tahun ke atas pula menurun dari 13.6% kepada 7.8% daripada jumlah keseluruhan pesakit ICU pada Mac, dan sebahagian besarnya sudah menerima suntikan vaksin.

“Sebelum ini, golongan muda hanya mengalami jangkitan kurang serius dan tidak memerlukan rawatan intensif. Jadi,  peningkatan kes bagi kumpulan umur ini sangat ketara,” kata Dr Ederlon Rezende, penyelaras bersama Brazilian ICU Project.

Brazilian ICU Project adalah inisiatif bersama Persatuan Perubatan Intensif Brazil (AMIB).

Dr Rezende juga berkata peningkatan pesakit ICU dalam kalangan orang muda mungkin disebabkan pelbagai faktor.

Golongan muda, katanya, cenderung dijangkiti virus Covid-19 sama ada semasa keluar bekerja atau percaya mereka kurang terdedah kepada jangkitan.

Faktor lain mungkin disebabkan varian baharu  P1 yang menular di Brazil, yang menurut pakar menyebabkan kadar kematian di negara itu melonjak bulan lalu, tambah beliau.

Dr Rezende berkata pakar mendapati P1 berupaya menjangkiti semula individu yang pernah mengalami jujukan asal virus, yang mungkin juga lebih berbahaya.

“Pesakit yang dirawat di ICU ketika ini ramai yang muda, tidak mempunyai masalah kesihatan lain.”

Brazil melaporkan lebih 66,500 kematian akibat Covid-19 pada Mac, iaitu lebih dua kali ganda rekod bulanan Julai tahun lalu.

Sehingga kini virus itu telah meragut 351,000 nyawa di negara yang mempunyai 212 juta penduduk itu. Ini sekali gus menjadikanjumlah kematian di Brazil kedua tertinggi selepas Amerika Syarikat. β€“ AFP, 12 April, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen